Setia Cinta
Seharian di hospital begitu memenatkan. Tasnim terduduk di sofa sebaik sahaja pulang. Pin tudung dibuka satu persatu. Perbualan di Poliklinik Ibu dan Anak lima hari lepas kembali menerjah ruang ingatan.
"Kami dapati abnormality pada keputusan ujian Puan Tasnim. Kami cadangkan puan buat pemeriksaan lanjut di hospital. Hospital terdekat mana yang puan boleh pergi?"
"PPUM."
"Okey.. Ini surat recommendation saya akan beri kepada pihak bertanggungjawab di sana. Tarikh pemeriksaan akan diberitahu kemudian, ya."
"Apa masalah isteri saya, doktor?"
"Puan Tasnim disyaki menghadapi masalah ginjal. Buat masa ni, saya nasihatkan supaya puan minum air secukupnya dan jauhi kafein. Saya pasti puan tak pernah terlibat dengan alkohol dan dadah kan? Puan ada ambil apa-apa ubat?"
"Sayang, kenapa tak kunci pintu?" Tanya Hud sambil meletakkan air masak di atas meja kopi. Matanya meneliti wajah si isteri.
"Tidur ke? Penat sangatlah tu.." Hud menggeleng kepala. Pintu rumah dikunci sebelum dia mengambil tempat di sebelah isterinya. Cawan air di meja dibawa mendekati bibirnya sendiri.
"Ayah.. ibu.. dah balik?" Harun Amir muncul bersama Syahmi di sisi.
"Hm, shh.. Ibu tidur. Penat." Balas Hud sambil meletakkan jari di bibir.
Harun Amir menempati sofa yang terletak berserenjang dengan sofa yang diduduki ibu bapanya. Syahmi pula berlabuh di sisinya.
"Malam ni masak apa, ayah?" Tanya Harun Amir.
'Rajin budak ni tanya. Sedia nak belajar la tu. Bagusnya..' Detus hati Hud sambil dia menghirup air membasahi tekaknya. Sebaik meletakkan cawan ke meja, dia berpaling melihat wajah anaknya.
"Syahmi.. Syahmi nak makan apa?"
Tasnim terjaga kerana hendak ke tandas. Melalui pintu dapur, dia dapat melihat anak-anaknya bersama dengan suami tercinta. Dia sedikit hairan.
""Hai, penuh dapur ni?" Tasnim bertanya dengan senyuman.
"Ibu!" Syahmi memeluknya. "Ayah suruh Ami tolong. Ami tak reti.."
"Ayah buli Ami eh?" Tasnim tersenyum mengusik Hud. Hud membalas pandang kepada isterinya. Spontan dia mengangkat sudip ke udara.
"Yang tak reti tu lah kena belajar..." Ujar Harun Amir sambil mengelap tangannya yang basah. Dia baru sahaja selesai membasuh peralatan memasak yang digunakan tadi.
Hud terdiam mendengar anak sulungnya mengatakan apa yang dia baru sahaja ingin sebutkan. Terkesima, dia meneruskan kerjanya menyiapkan makan malam.
Tasnim tertawa gembira. Rumah ini terasa meriah semula.
"Masak apa? Wangi bau.." Tasnim bertanya sebaik hidungnya terhidu bau masakan Hud yang menyelerakan.
"Ayam masak tomato. Ami minta ayah masakkan.." Harun Amir menjawab.
"Oh ye?" Tasnim teringat betapa anak kecilnya itu menyukai masakan itu. "Dah lama ibu tak masak sedap-sedap ya?"
Syahmi sekadar diam sambil memeluk kaki ibunya itu. Tasnim mengusap kepala Syahmi.
"Ada apa-apa yang orang boleh tolong Hud?"
"Ini untuk ibu!" Syahmi meletakkan bahagian perut ikan ke dalam pinggan Tasnim. Si ibu berkerut hairan.
"Bukan Ami suka bahagian tu ke?" Dia bertanya. "Amir pun.. kenapa ambil sikit je sayurnya? Bukan Amir suka brokoli tu?"
Amir senyum segaris, diam tanpa memberi jawapan.
"Ami dengan Bang Mir nak ibu cepat sihat. Sebab tu ibu kena makan banyak.."
"Hud..?" Tasnim menjeling suaminya.
"Apa?" Hud membundarkan matanya seperti tidak bersalah langsung.
"Ayah tak cakap apa-apa pun. Cuma, Amir dengan Ami nak ibu cepat sihat macam dulu.." Celah Harun Amir sambil meletakkan sedikit brokoli ke dalam pinggan Tasnim. "Allah yashfik, ya ibu."
Tasnim merenung wajah anak sulungnya itu. Kemudian, pandangannya tertumpah kepada Syahmi. Tasnim berasa terharu.
"Sirosis?!"
"Ya, dan kami harap Puan Tasnim mematuhi aturan pengambilan ubat dan mengikuti jadual rawatan dengan baik."
"Tapi.. macam mana isteri saya boleh dapat penyakit ni sedangkan.."
"Kami percaya Puan Tasnim pernah mengalami kecederaan pada buah pinggangnya suatu masa dahulu. Dan kecederaan itu adalah punca kepada hepatitis dan seterusnya membawa kepada sirosis."
Hud mengusap kepala Tasnim. Rambut yang berjuraian itu dia belai. Melihat wajah tidur isteri tercinta buat kesekian kalinya mengingatkan dia kepada saat mereka pertama kali berkongsi bilik. Situasi kian celaru apabila wanita itu membuatkan keputusan untuk memberikan silent treatment dan enggan berkomunikasi dengannya. Dia juga ingat ketika itu, rambut Tasnim tidak sepanjang ini. Hanya separas bahu sahaja.
Hud mengeluh perlahan. Sedaya upaya dia mencuba agar tidak mengganggu tidur isterinya itu. Dia begitu masak dengan ulah Tasnim yang tidak suka bergantung dengan dadah. Dia jadi risau. Seketika, dia teringatkan pesan adik iparnya. Peristiwa berdarah itu kembali menjengah ruang ingatan.
20 TAHUN YANG LEPAS
"Eh, Aniem?!" Tasnim ditegur sebaik turun dari kereta.
"Kak Hasni, assalamualaikum..!" Tasnim segera menyalami kakak iparnya itu. Senyuman lebar menghiasi wajahnya pada pagi itu sedangkan Hasni kelihatan terkesima.
"Sejak bila Aniem.." Celah Thariq yang datang merapati isterinya.
"Along!" Hud menyapa abang iparnya dari kejauhan. Sambil mengelek bekas berisi keropok lekor yang sudah siap digoreng, dia menghulurkan salam kepada Thariq.
Thariq dan Hasni kekal memandang perut Tasnim yang semakin membesar. Masing-masing terdiam.
"Hoi! Buat apa depan pagar ni? Beri salam tidak, tekan loceng pun tidak.. Angah dah ada dekat dalam.." Dengan tidak semena-mena, Syifa' muncul dari dalam rumah.
"Syifa', Aniem..." Thariq menunjukkan kepada Syifa'.
Syifa' tersenyum lucu. "Kot iya pun, masuklah dulu..."
"Alhamdulillah.. korang ni diam-diam ubi nampaknya!" Usik Salbiah dalam syukur. Dia mengerling anaknya yang sedang menjamah kuih-muih di sisinya. "Tak lama lagi Syakir bolehlah dapat adik sedara, kan abang?"
Redzuan hanya menjawab dengan senyuman.
"Bertuahnya diorang, kan Riq?" Hasni berbasa-basi dengan Thariq. Thariq memeluk bahu isterinya dengan erat. Senyuman terukir kelat.
"Insya Allah akan sampai rezeki Along dengan Kak Hasni.." Pujuk Tasnim. Dia tahu isi hati kakak iparnya itu. Biarpun mereka tidak begitu rapat namun sebagai seorang wanita, dia memahami perasaan Hasni. Hatinya sayu mengingati betapa Hasni dan Thariq setia bersama menanti anugerah terindah dari Ilahi.
"Sekarang ni, Hud tengah buat apa?" Tanya Redzuan bagi mengalih perhatian daripada cerita sedih itu.
"Dia tengah usaha tu, nak bukak bisnes sendiri. Jual apa entah.." Syifa' mencelah.
"Jual kain ke?" Sengaja Redzuan bercanda.
"Tengah fikir lagi lah bang.." Hud tersipu.
"Amboi.. perasan tak? Syifa' ni, semua dia tahu ye. Aniem pregnant, dia tahu.. Hud nak bisnes, dia tahu.. apa yang kita tak tahu semua dia tahu.." Salbiah mengusik adiknya.
"Haah kan? Mentang-mentanglah kakak kesayangan dia..." Hasni ikut mengusik.
"Mana ada..." Syifa' menggaru kepala. Tersipu dia ditegur begitu.
"Eh, kalau semua dah beres kita gerak sekarang lah?"
Jalan penuh sesak menuju di Lebuhraya LKSA. Seawal pagi begini, Hud berasa hairan dengan barisan kereta yang panjang. Namun semua itu diketepikan dengan andaian ramai orang yang ingin menghabiskan masa di kampung pada hujung minggu sebegini. Dia mengeluh memikirkan tempoh perjalanan untuk menziarahi kubur kedua-dua mertuanya itu bertambah panjang kini.
Hud mengerling ke arah Tasnim di sebelahnya. Isterinya itu sudahpun terlena. Hud sudah menduga keadaan itu kerana Tasnim sering keletihan sejak memasuki trimester kedua. Mata Hud kemudiannya mengintai tempat duduk belakang yang ditempati oleh Syifa'.
Syifa' kelihatan termenung sendiri.
"Syifa', jauh menung?"
Syifa' beralih memandang wajah Hud yang dipantulkan cermin pandang belakang. Matanya kelihatan sayu.
"Hud, kau ingat tak time kau gaduh dengan Aniem tahun lepas?"
Hud terdiam. Kejadian seperti itu tak ingin lagi dia kenangkan. Dia sudah berbahagia sekarang. Dia mengintai wajah Syifa' yang seperti menunggu jawapan daripadanya.
"Kenapa?"
"Kau tahu, lepas korang berdua bergaduh.. aku rasa macam nak ceraikan korang je, fasakhkan terus."
Hud menelan liur mendengarkan pengakuan Syifa'.
"Tapi Aniem kata, dia terima takdir dia jadi isteri kau. Dia kata nak teruskan je selagi mampu."
Mata Syifa' meredup.
"Tapi aku still tak tenang dengan hubungan korang yang masa tu kacau-bilau je. So, aku pun istikharah. Cari perkara terbaik yang aku boleh buat untuk Aniem. Yalah, dia pun dah jadi tanggungjawab aku memandangkan mak dnegan bapak dah takde."
Syifa' berjeda seketika. Tangan bermain dengan hujung plastik berisi sedikit bekalan untuk dibawa ke perkuburan.
"And then Allah tunjuk kat aku. Tiga kali aku mimpi benda yang sama. Kau tahu apa yang aku nampak?"
Hud mengangkat kening. Matanya tertumpu pada wajah Syifa' yang terpantul pada permukaan cermin.
"Aku nampak masa tu Aniem tengah sakit. Dia dekat hospital. Maybe nak melahirkan." Syifa' tersenyum kecil. "Tapi aku takde untuk dia. Dia sakit sangat. And cuma ada satu orang je yang bagi semangat kat dia. Kau.."
Hud gemuruh melihat wajah serius adik iparnya yang sudah sekian lama dia kenali.
"Sejak tu Hud, aku yakin.. Akan ada satu masa yang Aniem sangat memerlukan, tapi aku takde untuk tolong dia. So aku harap kau jaga Aniem baik-baik. Jaga dia untuk aku."
Hud pura-pura ketawa.
"Kau ni kenapa? Tiba-tiba je bagi wasiat bagai." Guraunya bagi menghilangkan gemuruh.
"Aku tak main-main, Hud. Aniem tu tanggungjawab kau. Aku yang bagi dia kat kau sebab tu lah.."
HONK !!
Copyright of Irene Adler No Plagiarisme Please
Post a Comment