"Assalamualaikum."
Hanis gembira melihat ibunya sudah sampai dari Perlis.
"La.. Kenapa ibu tak terus pergi dekat tempat majlis. Datang sini dekat rumah ni naik apa? Susah-susah je datang sampai sini."
"Masa ibu sampai tadi, ibu call Fateh. Pastu dia kata Along dia nak tolong jemput datang ke rumah dulu."
"Yalah, boleh makcik dan pakcik rehat-rehat dulu. Datang dari jauh ni dengan begnya semua." Along ikut masuk ke bilik dandan dengan beg solat kecil milik Mak Lang Rosnah. Sementara itu, Abang Long menemani bapa Hanis di luar.
"Ini ke pengantinnya? Bertuah Fateh dapat isteri cantik macam ni. Kalau arwah emak kamu tengok mesti dia pun lega tengok Fateh kahwin." Tegur salah seorang jiran tua yang datang menjenguk ke rumah.
"Kan? Betul, kan?" Angah menyampuk. "Ni, si Acik ni je yang entah bila nak kahwin."
"Biarlah. Orang kata, jodoh tak ke mana. Kalau dia sesat tu pandailah dia cari jalan. Tak payah pening-pening." Acik menjawab.
"Eh, dari dulu sampai sekarang itu jelah jawapan dia."
Semua yang hadir ketawa kecil sambil menggeleng kepala.
Hanis menarik tangan ibunya yang datang mendekat. Dia mengukir senyum bahagia. Mak Lang Rosnah juga memandang wajah anaknya yang siap berdandan dengan mata yang meredup.
"Nampaknya ibu dah buat keputusan yang betul." Dia mengeluh lega. "Sejak Hanis balik dari hospital, Hanis dah tak ada senyum macam ni."
"Hanis masih rasa kesan Corona tu, ibu." Jawab Hanis. "Maaf sebab buat ibu dan bapak risau."
"Hanis seronok dengan Fateh? Dah kenal dengan Fateh? Dulu ibu tak kenalkan dia pun dekat Hanis. Terus terima lamaran dia. Sampai demam-demam kamu dibuatnya."
Soalan Mak Lang Rosnah membuat Hanis tertawa kecil. Patutlah ibu yakin saja untuk terima lamaran dia. Gaya Fateh dan ibu lebih kurang sama je, banyak soalannya dalam sekali nafas.
"Dia layan Hanis macam mana?"
Muka Hanis merah padam mendengar soalan itu.
"Ibu! Soalan apa yang ibu tanya ni?"
"Eh, salah ke ibu tanya? Yalah, ibu tahu Fateh tu lelaki yanh baik. Tapi dia baik macam mana? Ada tolong Hanis kemas rumah ke, tolong masak ke, dia jenis tak bagi Hanis masak ke?"
Hanis mengusap muka. Seketika dia salah faham dengan niat dari soalan ibunya. Aduh, ke mana otak aku fikir ni?
Hanis memandang wajah Mak Lanh Rosnah. "Memang dia baik, bu. Banyak hari dia jaga Hanis demam, tak sekali pun dia mengeluh."
"Alhamdulillah."
Hanis mengangguk. Syukur. Kelam hari ketika dilanda Corona, kini kembali bercahaya dengan sebuah majlis pernikahan.
.....
Acik meminta Mak Lang Rosnah memimpin Hanis masuk ke dalam majlis sementara dia membantu untuk menolak kerusi roda bapa Hanis.
Ketika Fateh melihat Hanis yang lengkap dengan pakaian dan dandanan pengantin, dia ternganga. Mujur dia ditegur oleh DJ yang ada dekat dengannya. Kalau tak, malu dilihat orang.
"Hanis, kenapa tak rehat dekat rumah je?"
"Saya nak tengok majlis ini. Ini kan majlis saya juga. Lagipun ibu kata, tempat seorang isteri di sisi suaminya. Takkanlah saya nak biarkan awak sorang-sorang je dekat majlis ni."
Wajah Fateh merah padam. Mata tak berkelip memandang wajah Hanis yang bercahaya dengan seri pengantin. Ketika majlis nikah di Perlis, wajah itu masih murung dan sugul.
"Ehem. Pengantin dua-dua dah sampai. Kita buat pengumuman dululah. Pergi dekat hujung tu, kita buat pengumuman masuk ya."
"Untunglah, join kerja khidmat dekat luar kampung pastu jumpa jodoh. Eh, aku nak join jugak lah nanti. Meh bagi nombor agensi hari tu."
"Haha. Kebetulan je semua ni. Jangan sangka takdir kau sama dengan jodoh aku. Takdir masing-masing lain-lain."
Hanis memaksa senyum. Suara rakan-rakan lelaki Fateh kedengaran terlalu kuat. Lagipun kedudukan meja yang terletak di hujung dewan membuatkan Hanis rasa terhimpit. Kepalanya berbinar bagai nak pitam.
"Hanis?" Fateh menggenggam tangannya dan menariknya rapat. "Hanis okey ke? Hanis nak rehat dulu?"
"Oh... Tengoklah tu. Rapat macam nak letak masuk poket!"
"Kalau ada poket Doremon, entah-entah dia dah sorok isteri dia masuk dalam tu. Hahaha!"
Angah mendekat. "Hanis, Ateh. Jom ambik gambar keluarga. Cameraman dah sedia tu."
"Okey."
"Jom."
Angah dan Acik sedar yang Fateh dan Hanis masih malu-malu untuk menangkap gambar berdua. Jadi mereka meminta jurufoto untuk mengambil gambar keluarga terlebih dahulu.
Mereka menolak Fateh dan Hanis supaya berada di tengah dan ikuti dengan ibu bapa Hanis di sisi mereka.
Mak Lang Rosnah juga nampak segan apabila diminta memandang kamera. Fateh mengambil peluang untuk bergaya sambil memegang kerusi roda bapa mertua.
Kemudian, Hanis bergambar sambil bersalaman dengan ibu dan bapanya.
Tiba masa untuk mengambil gambar berdua, Hanis malu-malu dan enggan berdiri terlalu rapat. Lalu Fateh menggenggam tangan isteri yang ada di sisinya. Hanis sedikit terkejut lantas memandang tepat ke wajah Fateh.
Klik!
"Okey, satu lagi ya."
Hanis melarikan matanya. Fateh senyum kecil lalu memeluk bahu isterinya dan membuat tangan berbentuk V. Jurufoto nampak tertawa kecil. Hanis akhirnya mulai relaks dan ikut membuat V sambil tersenyum.
Selesai bergambar, Hanis ternampak rakannya yang dikenali ketika bekerja sebagai intern.
"Iqah!"
"Hai, Hanis!"
"Eh, dari jauh Iqah datang ek!"
"Yang lain pun ada. Diorang pergi ambik makanan. Hari tu majlis kat kampung kau Perlis jauh sangat. Jadi kitorang pun plan untuk datang majlis kat sini belah lelaki." Iqah menjelaskan. Kemudian dia menghulur salam kepada Mak Lang Rosnah yang ada dekat dengan mereka. "Ini mak Hanis ke? Rupa sebiji. Assalamualaikum, mak cik."
"Weh, tak sangka korang datang. Padahal kita tak kenal lama pun." Air mata Hanis mengalir kerana terharu. Senyumnya melebar menampakkan baris giginya.
"Mestilah datang. Enam bulan berkenalan tu lama tau. Takkanlah tak datang. Apatah lagi Hanis kan kesayangan Abang Botak. Mesti kitorang datang." Afiya muncul dari belakang dengan senyum melebar.
Hanis memeluk Afiya. Afiya merupakan adik BB. Dan Hanis tak menyangka Afiya masih sudi datang melihat wajahnya. Dia merenung wajah Afiya dengan mata bergenang diselubungi rasa bersalah.
"Eh, suami kau hensem weh." Semena, Iqah berbisik mengundang tawa.
"Kalau Abang tak botak pun tak boleh lawan hensem macam tu." Afiya mengusik. Dia ikut tersenyum sambil matanya memberi isyarat tak mengapa. Tak pernah dia menyalahkan Hanis atas pemergian abangnya.
"Eh, korang ni! Dah, dah. Korang belum makan kan?" Hanis mengubah topik untuk menghentikan air matanya dari mengalir. "Haa, nanti aku bawakan kek kahwin untuk korang."
"Wah, kek!"
"Kek orang kahwin ni lain daripada kek biasa. Jom Pia."
"Amboi, Hanis mengata Fateh ya." Fateh datang mendekati Hanis yang sedang membawa pinggan kek.
"Mana adalah." Hanis menafikan lantas mengubah topik. "Awak ni, bila nak panggil saya sayang? Asyik panggil nama je!"
"Nak panggil sayang ke?" Fateh menyoal kembali.
"Ya, kanda." Jawab Hanis.
"Sayang." Fateh menuding ke arah Hanis kemudian kepada dirinya. "Kanda?"
"Ya, kanda. Jom, sayang kenalkan dengan kawan-kawan sayang." Hanis menarik tangan Fateh dan melangkah bersama.
Along yang sedari tadi memerhati dari jauh menghembus nafas lega. Kelmarin ketika adiknya itu mengadu meminta nasihat di dalam kereta, dia juga jadi buntu tak tahu mahu berkata apa. Hanis dilihat semakin sihat dan ceria. Dia dapat rasakan kerunsingan Fateh tempoh hari hanya sementara.
Post a Comment