"Ehem. Ehem." Fateh kalut ingin membantu Hanis supaya batuknya lega. Hampir saja, kereta terbabas ketika dia ingin berhenti di tepi lebuhraya.
"Uhuk. Uhuk." Hanis menekan rusuk, dengan harapan dapat menghentikan sakit di dada.
Fateh menepuk-nepuk belakang Hanis. Sebelah tangan membuka dashboard tempat menyimpan ubat demam Hanis. Mujur pembantu rumah Hanis mengingatkan untuk membawa ubat kerana Hanis masih baru lagi kebah. Kemudian Fateh menoleh ke tempat duduk belakang untuk mencari botol air. Tapi sayang, semua botol yang dibawa semuanya sudah kosong.
Hanis masih terbatuk.
"Ha!!!" Fateh menjerit kuat membuatkan Hanis terkejut.
"Hanis nak tahu tak apa kelemahan Hang Tuah?"
"Hah?" Hanis berkerut hairan. Kenapa tiba-tiba saja?
"Kelemahan Hang Tuah pada huruf T-nya. Kalau buang T, bukan lagi tuah. Kalau diganti dengan K menjadi Kuah. Dihirup, eh habis hilang. Kalah."
Hanis menyeringai.
"Itu bukan daripada cerita Nujum Pak Belalang ke?" Dia tertawa dalam batuk.
"Hehehe, betullah tu. Sengaja Fateh buat lawak. Tengok, batuk Hanis dah kurang."
Betul, Hanis sedar batuknya semakin lega. Dadanya juga semakin ringan.
"Mana awak belajar trik ni?"
"Hehehe." Tiada jawapan daripada Fateh.
"Jom, kita cari hentian rehat. Sebelum tu, kita buka tingkaplah. Ambik udara segar."
Fateh bersedia untuk memulakan semula perjalanan mereka.
"Eh, udara kat luar tu segar ke ek? Bukan lagi kotor bau asap? Nak buka tingkap ke tak?"
Fateh begitu prihatin. Setiap soalan yang diajukan semuanya demi keselesaan Hanis. Hanis menyesal kerana sempat rimas dengan soalan yang bertubi-tubi itu. Walaupun sebenarnya, ia memang merimaskan tapi Hanis mulai menghargainya.
"Hanis? Macam mana?"
"Tak perlu buka tingkap. Saya okey."
.....
"Hanis, kita dah sampai."
Hanis mengusap wajah. Sudah lama dia tak berjalan jauh seperti ini. Tambah lagi dengan batuk tadi, badannya memang terasa letih.
Pintu rumah sudah dibuka. Nampaknya Fateh sudahpun siap mengangkat bagasi. Hanis sedikit terkilan. Dia terasa seperti asyik menyusahkan lelaki ini saja.
"Welcome to my house, Ba- Baby..!" Fateh menjemput tangan Hanis.
Hanis tersipu malu. Fateh sangat teruja membawanya ke rumah ini. Tapi panggilan itu...
"Hanis? Masuklah, meh sini Fateh tunjukkan bilik."
Hanis akur.
"Rumah ni ada 3 bilik. Satu bilik tidur, satu bilik solat atau bilik tetamu. Kalau orang datang nak berehat, lagi-lagi kakak-kakak Fateh kalau datang sini diorang baring kat bilik ni la." Fateh menjelaskan.
"Lagi satu bilik... Alamak. Bilik ni dah macam stor, walaupun barang dalam ni tak banyak sangat tapi banyak habuk dah bilik ni. Fateh lupa nak kemas untuk Hanis." Fateh nampak kalut menjenguk-jenguk bilik stor itu. "Eh! Maksudnya.. untuk Baby."
"Okey ke? Baby nak tidur sini ke? Atau ubah sikit bilik tetamu untuk Baby?" Fateh menyoal lagi.
Hanis menolak lembut tubuh Fateh dan mencapai batang penyapu yang tersadai di dekat pintu dapur.
"Kalau saya tak tidur sini pun, kita patut kemas semua habuk ni. Nanti selesemalah, resdunglah..."
Fateh tersengih. "Ha, yalah. Betul tu."
Hanis diam. Tangan ligat menyapu habuk tebal di sekitar peralatan yang ada di dalam bilik stor tersebut.
"Betul cakap Baby tu! Biar Honey tolong."
Hanis menjeling marah. Tangannya terhenti.
"Saya tak suka panggilan Baby dan Honey." Tegasnya.
Fateh terkelu.
.....
Usai solat Isyak, Fateh berkira-kira untuk menyentuh hal panggilan nama tadi kepada Hanis. Wajah Hanis terbakar merah menandakan dia betul-betul marah dan tak setuju.
Bila diingat-ingat, wajah marah itu kelihatan comel juga. Fateh tersenyum sendiri.
Hanis sibuk di dapur membersihkan sisa bungkusan makan malam tadi serta mencuci pinggan. Fateh cuba memanggil.
"Hanis."
"Hm?" Hanis hanya mengerling sambil tangannya sibuk mencuci. Fateh terasa hati. Dia mendekati isterinya.
"Hanis marah ke Fateh panggil baby?"
Hanis diam.
"Tak boleh ke kalau kita ada panggilan manja?"
Hanis diam untuk seketika lagi. "Bukan tak boleh..."
Terdengar suaranya mengeluh berat.
Tidak semena-mena, pinggan yang masih kotor ditinggalkan di dalam sinki. Hanis mengelap tangan kemudian berjalan ke ruang tamu. Dia duduk menghadap tingkap rumah yang nampak ke laman. Fateh membuntuti langkah isterinya.
Hanis mengeluh sekali lagi. Kedengaran ada yang memberat di dadanya. Kemudian, dia menggenggam rambut di kepala dengan kedua tangan.
"Sorry. Bukan Baby, bukan Honey. Dua tu tak boleh." Suara Hanis terketar. Wajahnya jadi kusut.
Fateh jadi kalut. Kenapa pula dengan Hanis ni?
"Hei, Hani Madu!"
"Ish, menyibuklah Budak Botak ni."
"Hei, botak-botak pun ada gaya tau, Cik Hani."
"Nama saya Hanis, bukan Hani."
"Hari tu aku nampak nametag kau tulis HANI. Dah tukar ke?"
"Ish! Itu orang nametag tu yang silap buat! Typo!!"
"BB, awak okey tak? Awak baru keluar ICU, saya risau."
"Jangan risaulah. Aku okey. Budak ofis kita ramai yang dah habis kuarantin. Kita berdua je yang masih dekat hospital ni."
"Saya minta maaf. Disebabkan saya, semua orang kena Corona. Sepatutnya kita tak buat farewell party tu untuk saya."
"Semua budak intern, semua kitorang buat parti macam tu lah. Jangan risaulah, Cik Hani. Takde orang salahkan kau. Tak lama lagi, baiklah nanti."
"Tapi kalau bukan sebab parti untuk saya hari tu, awak takkan jadi teruk macam ni!"
"Shh, Hanis. Jangan menangis. Fateh tak tahu nak buat apa bila Hanis menangis macam ni."
Hanis tersedar dari memori awal tahun kelmarin. Fateh memujuknya dengan suara terketar. Dia sendiri tak tahu berapa lama dia mengelamun dan menangis. Pedih tekak terdengar serak. Hanis membalas pelukan Fateh yang sedari tadi menepuk-nepuk memujuk supaya berhenti menangis.
"Sorry."
Post a Comment