Evan sedang berehat sambil makan sandwic dan memikirkan lamaran Theron kepada Lucy. Pada Evan, Lucy hanyalah anak tiri Tuan Kilang. Jadi, dengan siapapun Lucy akan berkahwin tidak sepatutnya menjadi isu besar dalam rumah ini.
“Mungkin, Tuan Kilang tak sangka dia akan mendapat menantu daripada keluarga diraja.”
Evan mengangguk sendiri. Dia yakin Tuan Kilang dan Tuan Baron hanya panik kerana pangkat Theron yang tidak disangka-sangka. Jarak status antara seorang putera dan seorang rakyat biasa nampak begitu besar. Tapi jika difikirkan lagi, keluarga Theron bukanlah keluarga pemerintah jadi masih jauh untuk Lucy menjadi seseorang yang signifikan dalam masyarakat.
“Apalah yang hebat sangat dengan anak tiri Tuan Kilang itu?”
Tiba-tiba, Evan mendengar bunyi cawan pecah di pintu dapur. Dia menyedari kelibat Suzy yang sedang berada di dapur. Suzy berdehem sambil cepat-cepat mencuba mengemas kaca yang pecah bertaburan. Di wajahnya ada rona merah menahan malu. Sejak akhir-akhir ini, Evan perasan yang Suzy sering menyembunyikan perasaan daripadanya.
“Wah, maaf! Maafkan saya sebab dah rosakkan cawan mahal keluarga awak.” Kata-kata itu tercetus di mulut Suzy membuatkan Evan begitu hairan. Namun sebelum sempat bertanya apa-apa, Suzy sudah menghilang di belakang dapur.
“Suzy! Biarkan saja kepada pembantu, pembantu akan uruskan kaca pecah itu. Lagipun itu cuma cawan murah kegunaan harian.” Evan menarik tangan Suzy yang kalut menerpa mengambil penyapu.
“Tak apa, memang saya bukan apa-apa jadi biar saya buat perkara kecil ini.” Jawab Suzy pula.
“Suzy!” Evan menarik Suzy untuk duduk bertenang. “Ada apa dengan awak ni? Sejak pulang dari pertandingan piano, awak asyik bersendiri. Awak masih merajuk, ya?”
“Hmph!” Mendengar kata-kata Evan, air mata berlinang di wajah Suzy. “Saya tahu saya bukan siapa-siapa berbanding Lucy. Saya cuma anak tiri Tuan Kilang. Semua selok-belok kilang dan semua bakat itu semua Lucy seorang je yang ada. Saya tak pandai apa-apapun!”
“Apa?” Evan terkejut mendengar amukan Suzy.
“Ilmu kira-kira, Lucy yang pandai. Menjahit dia pandai. Main piano pun dia yang pandai. Saya ni anak tiri bodoh je!” Air mata Suzy mengalir semakin deras. “Sekarang, dia juga yang akan bertunang dengan putera raja. Saya? Saya tak ada apa-apa pun.”
“Suzy… awak bukan anak kandung Tuan Kilang? Bukankah awak kata ibu Lucy itu ibu tiri awak?”
“Ya, ibu Lucy yang sudah meningggal itu, memang ibu tiri saya. Cuma saya ini yang menyibuk dalam keluarga Lucy.”
Evan berasa pusing. Selama ini, dia beranggapan bahawa Suzy ialah anak kandung Tuan Kilang sementara Lucy ialah anak tiri Tuan Kilang. Dia fikirkan Lucy sombong dan tak mahu bergaul dengannya tapi kini dia mulai sedar.
Sejak awal dua gadis ini datang, tak sedikitpun mereka bercerita tentang ibu mereka. Perwatakan mereka yang benar-benar berbeza membuatkan Evan memilih Suzy lebih daripada Lucy. Dengan umur mereka yang berbeza, Evan menyedari bahawa Lucy sudah menginjak dewasa sementara dia dan Suzy yang lebih muda masih bersifat keanak-anakan.
Lima tahun dulu, Evan baru berumur 5 tahun manakala rakan sepermainannya sudahpun berumur 7 tahun. Evan ingat dia dan rakan gadisnya itu sudah mahir mengira dan pandai bermain piano. Berbeza dengan Suzy banyak membuat kesalahan kecil di dalam kelas master tutor seperti orang baru pertama kali belajar. Evan berfikir bahawa Suzy tak punya waktu untuk berlatih biarpun lima tahun dulu pernah mengikuti pelajaran asas bersamanya. Namun ternyata, Evan silap sama sekali.
Kini Suzy mengakui. Suzy tak punya sebarang memori bersama Evan lima tahun lepas. Bahkan lima tahun lepas, Suzy masih lagi seorang anak kecil polos yang berlari-lari tanpa memikirkan sebarang tanggungjawab. Suzy juga mengaku, musim panas inilah dia baru mula belajar dengan lebih tekun.
“Maaf, Evan.” Suzy memohon. “Lucy sibuk. Lucy selalu tak pedulikan saya dan terus dengan wajah serius. Dia sering menolong ayah tapi saya tak faham semua itu. Saya gembira bila awak ajak saya belajar dan bermain bersama awak.”
“Marmalade raspberi…” Suara Evan terketar. Perasaannya bercampur baur.
“Marmalade itu dari rumah. Lucy yang buat. Setiap musim buah, dia akan petik buah beri di belakang rumah dan buat marmalade. Resepi itu antara warisan mendiang isteri pertama ayah.” Suzy menjelaskan.
Sejak ibunya berkahwin dengan Tuan Kilang, mereka tak pernah membeli jem atau marmalade. Hanya marmalade buatan tangan itu yang disukai ayahnya. Lucy selalu pastikan untuk membuat balang baru sebelum balang yang lama habis dimakan.
Evan terpempan. Selama ini, dia melihat ke arah yang salah. Gadis yang dia rindukan selama ini bukan Suzy, tapi hanya Lucy. Lucy yang tak pernah dia hiraukan sepanjang musim panas ini. Musim panas yang dia harapkan dapat dikongsikan dengan gadis itu.
Evan keluar mencari Lucy. Dia ingin meminta maaf kepada gadis itu. Sudah dua musim Lucy di estetnya, tidak terfikir langsung akan salah mengenal orang. Evan ternampak Lucy di pagar ladang. Lucy dilihat senyum dengan ayahnya sambil membawa bakul-bakul buah dari belakang bangsal. Akhirnya, Evan tersandar pada dinding rumah. Wajah Lucy mirip sekali dengan Tuan Kilang, entah mengapa dia bodoh dalam menyedari hal itu.
Post a Comment