Welcome!
Irene Adler
ღღღ

Important!
Full collection can be found on buttons below.
For newer collection (2025) click this link here


Latest List
Full List
Fateh p Hanis Isteri Otaku Bukan Kisah Cinta 4 Bukan Kisah Cinta 3 Bukan Kisah Cinta 2 Dessert from the Train Feb '20: Tentang Haris 2 Feb '20; Tentang Haris 1 Mandora Box 22 Sept; Darling, I Need You 31 30 Oct; 7 Hari Bersamamu

Home | Follow | Reach me


credit
Template by : IKA
Background by : Nana Joe
Important!
Newer collection (2025) and chapters list, click this link here .

Ladang kapas, piano dan kita

Hari pertandingan, Suzy enggan ikut bertanding walaupun namanya tersenarai sebagai peserta. Tak ramai yang menyertai pertandingan itu. Namun, ramai pula pengunjung yang datang melihat-lihat. Kata mereka, seorang putera yang baru pulang dari luar negara akan ikut bertanding. Evan dan Lucy berdebar-debar mendengar khabar itu.

“Kenapa pula seorang putera mahu ikut campur dalam pertandingan ini? Bukankah ini cuma pertandingan kecil-kecilan di pekan ini? Habislah aku!” Evan mengomel. Dia sedar dia perlu lebih banyak belajar jika ingin bermain piano secara professional. Dia mengerling Lucy yang kelihatan kaku memegang pakaian kain gaunnya. 


“Lucy, Theron mana?” Sengaja Evan menegur. 

“Theron?” Lucy tersentak kecil. Debar hatinya hilang seketika bila mengingat janji Theron semalam. 

Sebaik sahaja Suzy melarikan diri, Theron pula meminta diri untuk pulang. Dia hanya membungkus beberapa keping roti kopi untuk dibawa pulang. Tidak sempat juga Tuan Kilang dan Tuan Baron berbual dan berkenalan dengannya. 

“Theron berkata dia akan datang kemudian. Namanya tersenarai paling akhir.” Lucy menjawab soalan Evan. Lucy juga berkata Theron akan memakai baju berwarna biru. Mereka tercari-cari kelibat Theron sehingga akhir pertandingan.

“Kini pertandingan berakhir.” Pengacara majlis mengumumkan. “Sambil menunggu keputusan daripada para juri, dipersilakan persembahan istimewa daripada Tuan Putera Theron Leandre Elderic.” 


Ketiga-tiga Evan, Lucy dan Suzy ternganga. Theron muncul dengan pakaian suit diraja lengkap dengan mantel kecil di bahunya. Aura seorang putera menyerlah di balik baju biru gelap yang juga lambang diraja. Orang ramai bertepuk tangan menyambut kedatangan Theron di atas pentas. Theron memberi tunduk hormat sebelum duduk di kerusi piano.

Para penonton diam menghormati pentas sebaik lagu dimulakan. Theron membawakan lagu Liebestraum No 3 yang menyapa telinga dengan nada yang lembut dan romantis. Namun setelah mengingat pelajaran master tutor, Evan, Lucy dan Suzy bertiga tahu lagu daripada Liszt ini bukanlah suatu lagu yang mudah untuk dimainkan. 

Gerak tari jari jemari Theron membuatkan mereka yakin, Theron bukan calang-calang pemain piano. Apatah lagi dengan bahunya yang ikut terhenjut dek kerana tempo lagu yang unik. Bunyi romantis mengembang di udara seperti ekor merak yang memikat. Theron menghabiskan lagu romantis itu dengan nada downbeat yang perlahan berbisik membawa penonton terawang-awangan di angkasa.


Sorakan daripada para penonton terdengar bergemuruh di sekitar dewan. Ramai yang memuji betapa merdunya mainan piano itu. Sungguh sepadan dengan nama Theron Leandre yang begitu elegan. Seketika, terdengar juga rumor bahawa Tuan Putera Theron datang ke pertandingan di pekan ini demi mencari gadis idaman. Ramai yang berdoa semoga mereka terpilih menjadi gadis bertuah itu. 

Pembantu Tuan Putera Theron membawa sebuah bakul berisi manisan biji hazelnut dan ditabur di bawah pentas. Ada juga yang mendapat manisan dengan beratur di sepanjang pagar dewan. Pengunjung yang lebih tua tersenyum sesama sendiri. Masing-masing mendoakan kebahagiaan buat putera muda itu.

Di akhir pertandingan, Putera Theron memberikan hadiah kepada pemenang tempat pertama iaitu Lucy. Tempat kedua dimenangi oleh seorang remaja dari sekitar pekan, manakala Evan pula di tempat ketiga. Wajah Suzy merah padam mendengar keputusan itu. Dia bersyukur kerana menarik diri lebih awal kerana dia pasti tidak mampu menandingi persembahan para peserta tadi. 


“Sembah hormat, tuan putera.” Ujar Evan, Lucy dan Suzy apabila Theron menghampiri mereka. Mereka berundur sedikit jauh daripada Theron. Tidak pasti bagaimana untuk bertingkah di hadapan putera raja itu.

“Eh, tak apa. Panggil saja Theron.” Theron merendah diri.

Tiga remaja itu menundukkan kepala, takut menyinggung keluarga diraja.

Theron ketawa kecil. Dia sudah menjangkakan reaksi mereka sejak awal perkenalan lagi. 

“Beginilah, memandang ada dua pemenang di sini, biar saya berikan layanan istimewa. Saya akan hantarkan kamu semua pulang ke rumah. Lagipun, saya masih ingin berbincang tentang muzik bersama kamu bertiga. Saya senang berkenalan dengan kamu.” Theron memujuk dengan rendah diri. Dia tak mahu latar belakangnya sebagai seorang putera membuatkan persahabatan mereka jadi kekok.


Theron mengajak tiga remaja itu menaiki pedati kuda yang sederhana besar, di dalamnya cukup luas untuk memuatkan enam orang. Seorang pengawal merangkap pembantu mengiringi mereka dengan duduk di bahagian pemandu. Di sepanjang jalan, Theron banyak bertanyakan Evan tentang master tutor yang mengajarkan mereka kelmarin. 

Theron sebenarnya mengenali master tutor itu kerana tutor itu telah mengajarnya ketika kecil. Ada dalam kalangan keluarga diraja yang menghargai cendekiawan dan terlibat dengan penganugerahan gelaran grandmaster dan master kepada ahli cendekiawan yang berkaliber. Theron memuji keluarga Evan yang mampu untuk mengupah seorang master tutor. Seringkali, master tutor menjadi rebutan keluarga Duke dan Marquess sehingga hanya tinggal tutor berpangkat rendah untuk membimbing anak bangsawan yang lain.

"Dulu, saya belajar lagu-lagu Bach dan Chopin daripada master tutor kamu. Kini, saya masih mengasah kemahiran piano saya dengan mempelajari lagu-lagu Liszt daripada seorang grandmaster." Ujar Theron tanpa niat bermegah. Sekadar ingin berbual mesra bersama mereka.

"Wah, bolehkah saya tumpang belajar sama, Ther- Putera Theron?" Soal Suzy yang kemudian ditegur Evan dan Lucy. 

“Bukan tempat kita untuk belajar dengan seorang putera.” Bisik Evan.

Theron pula senyum kecil mendengar impian gadis itu. “Boleh. Mungkin suatu hari nanti.”




Di depan pintu utama estet Baron, Theron memberhentikan Lucy dan membiarkan Evan dan Suzy masuk ke rumah terlebih dahulu. Setelah jarak agak jauh daripada dua remaja itu, Theron  menghulurkan sebuah pin kerongsang kayu buat Lucy. Kerongsang itu berbentuk biji hazelnut dan disadurkan emas. Katanya, dia memang berniat untuk memberikan kerongsang itu kepada Lucy sebagai tanda persahabatan mereka. Lucy menerima niat baik putera itu tanpa berfikir panjang.

Memasuki ruangan rumah, mereka terdengar suara perbincangan antara Tuan Baron dan Tuan Kilang. Suara mereka keras hampir terdengar seperti sedang bergaduh, namun Evan tahu ada perbincangan hangat yang sedang berlangsung.

Pengurus rumah meminta Lucy masuk bertemu dua rakan seperniagaan itu sambil mengalih perhatian Evan dan Suzy. Pengurus rumah juga berkata ini mungkin bukan masa yang sesuai untuk Theron bertamu, namun Theron bertegas ingin menunggu.


“Lucy, kamu dah pulang!” Tuan Kilang menyambut kepulangan Lucy yang masuk mengetuk pintu ruang belajar. 

“Ya, ayah. Ayah ada masalahkah?” Soal Lucy prihatin dengan suasana tegang di dalam ruang belajar itu.

Tuan Kilang dan Tuan Baron berpandangan penuh makna.

“Ya,” Tuan Kilang berdehem membetulkan suara. “Bukan masalah. Tapi ayah ada soalan untuk kamu.”

Lucy menelan liur, perbincangan deras antara ayah dan Tuan Baron melibatkan dirinyakah?


“Sepanjang kamu ke pekan, dan sepanjang hari ini, ada tak kamu berjumpa dengan seseorang yang istimewa?” Tuan Kilang menyoal dengan berhati-hati.

Lucy mengerutkan dahi. Dia mengambil langkah berhati-hati sebelum menjawab.

“Ini surat untuk kamu, Lucy.” Tuan Baron mencelah. “Lebih tepat lagi, ini surat lamaran untuk kamu.”

Lucy terkaku. 

“Sepatutnya, lamaran seperti ini dikirim ke rumah kilang kamu. Tapi nampaknya, tuan punya surat ini mengenali kamu dari sekitar ladang estet kami.” Tambah Tuan Baron lagi, kemudian menunjukkan surat tersebut kepada Lucy. 

“Surat ini daripada keluarga Elderic. Meskipun mereka baru berkembang dalam industri perkilangan, mereka ini antara keluarga diraja lama (old royalty). Sebagai rakyat biasa, keluarga kamu tak boleh menolak sewenang-wenangnya. Ini perkara yang besar.”

Lucy memeriksa surat tersebut dan mendapati nama keluarga Elderic sebagai penghantar. Terdapat juga tandatangan dan cap rasmi berbentuk biji hazelnut di hujung surat. Dia mengeluarkan kerongsang daripada Theron tadi untuk dibandingkan.  Tak semena-mena, tangannya menggeletar. 

Lutut Lucy terasa lemah. Dengan raut wajah yang cemas, dia memandang wajah ayahnya seolah-olah meminta bantuan. Lucy tahu suasana kini memang berat. Dia kini menerima surat yang datangnya daripada seorang putera raja. Dan putera itu kini berada di luar bilik mereka.

“Kamu memang ada berjumpa dengan seseorang daripada keluarga Elderic?” Tuan Kilang dan Tuan Baron menyoal serentak.


Seketika, terdengar bunyi ketukan pada pintu. Theron menguak pintu ruang belajar dan memohon maaf bagi pihak Lucy. 

“Surat itu… daripada keluarga saya.” Theron berterus-terang.

Tuan Baron membuntangkan mata. Anak remaja yang dikenali sebagai sahabat baharu anaknya, rupa-rupanya berketurunan diraja. Dan kini anak raja itu punya hasrat yang besar untuk meminang seseorang di rumahnya. 

Pantaslah kelmarin, Theron cepat-cepat melarikan diri. Pasti dia masih ingin menyembunyikan identiti daripada Lucy dan yang lain. 

“Kamu pasti?” Tuan Baron terlepas bicara. Dia membetulkan posisi suaranya. “Tuan Putera.. sudah berbincang dengan keluargakah?”


“Bonda saya pernah berkata, saya bebas memilih mana-mana gadis sekalipun daripada golongan rakyat.” Theron berdiri megah menampakkan keyakinan dalam bicaranya. “Tiada gadis yang lebih baik pernah saya temui berbanding Lucy. Dan ternyata, Lucy, kamu memang daripada keluarga yang elok. Lebih elok daripada yang kamu jangkakan.”

6

*****ff//
aku... kurang guna visual cues... aku ingat nak tunjukkan kecantikan/kehenseman watak-watak yang mana dan macam mana mereka boleh jatuh  cinta. tapi otak aku not there yet.
but also, aku nak cepat2 sampai ke ending. dalam otak aku ending dia dah ada, dah absolut. tapi lepas tulis setiap scene, mesti ada persoalan lagi dalam kepala aku dan menyebabkan cerita ni panjang berjela tapi kurang descriptive ithink? apa itu writing yang bagus? entahlah itulah dah lama tinggal.

Copyright of Irene Adler No Plagiarisme Please
Next
Previous