Welcome!
Irene Adler
ღღღ

Important!
Full collection can be found on buttons below.
For newer collection (2025) click this link here


Latest List
Full List
Fateh p Hanis Isteri Otaku Bukan Kisah Cinta 4 Bukan Kisah Cinta 3 Bukan Kisah Cinta 2 Dessert from the Train Feb '20: Tentang Haris 2 Feb '20; Tentang Haris 1 Mandora Box 22 Sept; Darling, I Need You 31 30 Oct; 7 Hari Bersamamu

Home | Follow | Reach me


credit
Template by : IKA
Background by : Nana Joe
Important!
Newer collection (2025) and chapters list, click this link here .

Ladang kapas, piano dan kita

Di hari keempat latihan, Evan semakin berhati-hati dalam memainkan lagu pilihannya. Dia tidak lagi menggunakan trill dan upbeat mengikut emosi sendiri. Persembahannya sesuai dengan makna lagu. Master tutor memuji kemajuan Evan itu. 

Suzy pula di tempat berbeza dengan Evan. Semakin dia berlatih, semakin dia berasa gugup. Banyak kesalahan yang dilakukan dalam menekan not kunci piano. Suzy tidak mampu memainkan melodi Mary Had a Little Lamb dengan harmoni. Evan sengih dalam memberi semangat kepada gadis itu sementara master tutor pening kepala bagaimana hendak membetulkan Suzy. 

‘Hai, malu jika kemahiran yang seburuk ini dibawa masuk pertandingan.’

Ketika mereka masih tekun berlatih, Pengurus Rumah datang mengumumkan kedatangan seseorang. 

“Tuan Muda Evan, ada seorang remaja datang di pintu utama. Katanya, dia bersahabat dengan Tuan Muda.”

Ketiga-tiga mereka terkejut melihat kedatangan Theron.


“Maaf mengganggu awak semua.” Theron dengan sopan meminta izin untuk masuk. “Kebetulan hari ini saya mengunjungi ladang hazelnut di dekat sini, jadi saya minta izin keluarga saya untuk berkunjung ke rumah awak.”

Evan menerima kehadiran Theron dengan pandangan tajam. Dia tidak tahu bagaimana keluarga Theron berani membiarkan Theron datang tanpa diundang ke estet Baron. Apatah lagi, mereka berdua hanya pernah bertemu satu kali. 

Theron hanya seorang anak remaja pembantu kedai kopi. Siapa keluarga Theron, tidak Evan kenali. Namun, apabila Theron menghadiahkan sebungkus biji kopi, Evan senang hati menerimanya. Setidak-tidaknya, Theron tahu untuk membawa buah tangan. 


“Biji kopi ini baru dipetikkah?” Soal Lucy sambil mengekori pembantu ke dapur.

“Ini sampel yang sudah dipanggang. Saya bawa untuk dibandingkan dengan biji baru.” Balas Theron sedikit sebanyak menceritakan paginya sambil berjalan di sisi Lucy. Evan turut mengikuti mereka, meninggalkan Suzy yang masih berlatih.

“Oh…” Lucy mengangguk. 

Sebaik tiba di dapur, Lucy membancuh secangkir ekstrak kopi pekat dari biji kopi tadi. Dia juga dengan gerak lincah mengeluarkan sebungkus tepung gandum. Pembantu dapur terkocoh-kocoh membantunya. 

“Pengurus rumah, boleh kita buat snek? Bau kopi ini begitu harum.” Pinta Lucy yang tak mungkin boleh pengurus rumah bantah. Gadis itu sudahpun bersiap menggulung lengan baju. Reben rambutnya juga diperkemas rapi.

“Buat snek? Awak tahu membakar roti?” Soal Theron sebaik melihat bahan-bahan yang dikeluarkan oleh Lucy. Lucy senyum sahaja sambil menabur tepung dan mula menyiapkan doh. “Awak nak buat roti apa? Untuk minum dengan kopi?”

“Saya fikir nak buat roti kopi. Campurkan kopi dan mentega sebagai inti dan bakar bersama.” Lucy mengulas sebelum bertanya lebih lanjut tentang kopi yang dibawa Theron. 

“Awak suka kopi manis atau ada cara istimewa untuk buat kopi ini, Theron?”

Theron dengan wajah bercahaya memberikan tips membancuh kopi hazelnut yang sedap kepada Lucy. Sambil itu, dia juga teruja melihat Lucy yang juga pandai membuat roti. 

Evan tidak memahami. Dia memandang pembantu dapur dan pengurus rumah. Kedua-dua mereka membiarkan sahaja Lucy melakukan kerja menguli doh. Pembantu dapur juga asyik bertanyakan bahan apa lagi yang Lucy perlukan. Sepertinya, dapur ini harmoni dengan keberadaan Lucy dan Theron walaupun pada dasarnya dapur ini milik keluarga Evan.

Berasa tak sesuai untuk terus di dapur, Evan kembali ke ruang belajar untuk melihat Suzy yang masih berlatih.


Menjelang tengah hari, roti sudah dimasukkan ke dalam ketuhar tembikar. Pembantu dapur menyuruh Lucy dan Theron meninggalkan dapur sementara dia akan menjaga roti yang sedang dibakar. Lucy terus menghampiri master tutor di ruang belajar untuk menjemputnya menunggu snek siap nanti.

“Terima kasih, Lucy. Banyak yang kamu dah masakkan untuk saya sepanjang minggu ini.” Ujar master tutor. Sambil itu, master tutor juga sempat memberi hormat kepada Theron.

TRANG!

Tak semena-mena, Suzy mengamuk kecewa. Dia memukul papan kekunci piano dengan perasaan geram. 

“Sabar, Suzy.” Evan memujuk.

“Jangan terlalu gemuruh, biar saya ajarkan versi ringkas lagu ini.” Theron ikut campur. 

Suzy mengikut tunjuk ajar Theron. “Wah, saya dah faham. Tak sangka ada versi mudah dari lagu ini. “

“Macam mana pula dengan latihan awak, Suzy? Awak ingin bertanding dengan lagu yang sama seperti hari itu? Boleh saya tengok latihan persembahan awak?”

“Tak apa, tak apa. Saya sudah berlatih sendiri hari ini.” Lucy enggan menunjukkan latihannya. Selalunya, dia akan berlatih sewaktu Evan dan Suzy di ladang. Hanya ada beberapa bait yang dia minta tunjuk ajar daripada master tutor. Lucy selalu ingat, master tutor ialah guru keluarga Baron, bukan gurunya.

Evan, Theron, Suzy dan master tutor memandang Lucy. Masing-masing menunggu Lucy duduk di kerusi piano. Merasakan mata mereka terus tertancap kepadanya, Lucy mengalah. 

“Baiklah, sementara menunggu roti siap ya.” Dengan tenang, Lucy berlabuh punggung dan meletakkan jari jemarinya pada papan piano.

Lagu dimulai dengan nafas tenang. Jari Lucy menekan kekunci piano dengan lembut namun penuh tenaga. Melodi Moonlight Sonata dimain penuh seragam sambil bahunya turutnya terbuai sama. Setiap nada kekunci ditekan penuh yakin tanpa ada satu kesalahan pun. Sentuhan grace note yang dibawanya menyerlahkan sebuah kisah suram penuh kasih dan rindu.

Master tutor tersenyum pilu. Dia sudah menyangka gadis di hadapannya itu berbeza daripada Evan dan Suzy. Hanya beberapa kelas asas, Lucy sudah dapat menghayati sebuah lagu klasik selayaknya seorang pemain dewasa. 

Satu tepukan kedengaran dari pintu ruang belajar. Tuan Baron dan Tuan Kilang sudahpun pulang. Tuan Baron memuji lagu merdu mainan Lucy sementara Tuan Kilang pula nampak terharu dengan wajah menunduk.

“Merdu sekali, Lucy. Persis mainan gubahan mendiang ibu kamu.” Puji Tuan Baron, mengagumi intonasi gubahan lagu yang dimainkan oleh Lucy.

Suzy berlari keluar. Dia kembali ke biliknya. Merajuk kerana cuma dia yang ketinggalan dalam pelajaran piano.


5


Copyright of Irene Adler No Plagiarisme Please
Next
Previous