Ladang kapas, piano dan kita
Pagi Isnin ketika Evan
dan Suzy di ladang, Lucy memasuki ruang belajar di mana piano diletakkan. Piano
itu berdiri gah di ruangannya dengan papan yang berkilat. Ia sentiasa
diselenggara dan dijaga rapi untuk kemudahan Evan belajar. Lucy menghampiri
piano itu sambil berfikir-fikir. Jari-jemarinya menari layang di atas papan
piano.
Pada ketika yang sama,
Tuan Kilang sedang bersiap untuk keluar bersama Tuan Baron. Sambil melangkah ke
pintu utama, Tuan Kilang perasan keberadaan Lucy di di dekat piano. Tuan Kilang
datang memeluk bahu Lucy yang nampak seperti sedang berfikir panjang.
“Lucy, kamu dah bersiap
sedia untuk latihan? Memandangkan ini kali pertama kamu mengikuti pertandingan
piano, kamu rasa gemuruh? Pilihan lagu penting untuk menghadapi pertandingan.”
Ulas Tuan Kilang. Dia turut teruja untuk mendengar tiga anak remaja itu akan
mengikuti pertandingan piano. Entah bila kali terakhir dia melihat anak
gadisnya itu menyentuh piano.
Lucy memandang ayahnya
dengan senyum penuh makna. “Lucy nak mainkan lagu yang ibu ajar, Moonlight
Sonata.”
“Wah, kamu masih ingat
Moonlight Sonata gubahan ibu?” Tuan Kilang tak menyangka akan pilihan anaknya
itu. “Dulu, mendiang ibu kamu selalu bermain piano dengan rentak gubahan
tersendiri. Dia mahir bermain-main dengan grace note dan trill. Sayang sekali,
nota muziknya tersimpan di rumah. Tak dapat ayah berikan untuk bantu latihan
kamu.”
“Ibu.. memang mahir
piano?” Soalan itu muncul di benak Lucy. “Ayah, mana yang ibu lebih mahir?
Bermain piano atau menjahit?”
“Ketika remaja, ibu
kamu seorang pemain piano amatur profesional. Dia sering diundang bermain piano
di majlis-majlis keraian.” Tuan Kilang membuka cerita. “Namun, selepas
berkahwin, ibu lebih fokus pada seni jahitan dan pemprosesan tekstil. Itukan
memang kemahiran orang di kampung kita. Lama dia tak bermain piano sehinggalah
kamu lahir.”
“Iyakah, ayah? Lepas
itu?” Lucy ingin tahu lebih lanjut.
“Ibu kamu sengaja ajarkan
kamu piano. Ibu fikir dengan berlatih piano akan menjadikan tangan kamu
terbiasa dengan seni halus dan mudah belajar menjahit. Dan terbukti, bakat
menjahit dan bakat piano ibu kedua-duanya ada dalam diri kamu, Lucy.” Tuang
Kilang menyambung cerita.
“Bakat ibu… dalam diri
saya?” Soal Lucy, melihat pada tangannya yang kini penuh kematu.
“Ya, Lucy. Kamu memang
berbakat.” Tuan Kilang memberi semangat.
“Ayah rasa Lucy boleh
mainkan gubahan ibu dengan baik?” Lucy menyoal lagi sambil meminta ayahnya
membantu dia berlatih. Takut-takut bakatnya tak cukup untuk menyampaikan gubahan
lagu Moonlight Sonata sebaik ibunya.
“Lucy… Ibu kamu sudah
ajarkan kamu asas dalam menjahit dan bermain piano. Dia berharap nanti kamu
boleh mengembangkan seni dengan gaya tersendiri. Jangan terikat dengan teori.” Tuan
Kilang menasihatkan. “Ayah tak mahir dalam hal piano. Lebih baik, Lucy minta
tunjuk ajar tutor bila dia sampai nanti.”
Ayah Lucy meminta diri.
Semalam, dia dan Tuan Baron telah berbincang untuk dia terus menginap di estet
Baron sehingga selesai pertandingan. Kemudian lagi, Tuan Baron mengajaknya
untuk bersosialisasi dengan rakan-rakan niaga dan usahawan yang lain. Mereka
tak mahu mengganggu anak-anak mereka berlatih. Alang-alang menyeluk pekasam,
mereka juga merancang aktiviti lain untuk diri mereka.
Lucy menghantar Tuan
Kilang dan Tuan Baron berpergian dengan kereta kuda. Evan dan Suzy juga sempat
pulang awal untuk berbuat demikian. Kerja-kerja ladang dipendekkan supaya
mereka berdua sempat membersihkan diri untuk latihan pagi bersama master tutor.
“Selamat jalan, ayah!”
Ujar mereka bertiga.
Master tutor tiba pada pukul sebelas. Evan, Suzy dan Lucy berkumpul di ruang belajar. Mereka memilih lagu yang ingin dimainkan daripada senarai nota muzik yang ada dalam koleksi pustaka Tuan Baron. Evan ingin menunjukkan kehebatannya dengan memainkan irama pantas lagu Chopin sementara Suzy hanya berani memilih lagu Mary Had a Little Lamb. Lucy kecewa apabila tidak menjumpai nota muzik Moonlight Sonata. Namun dia bernasib baik kerana nota muzik itu ada dalam fail pelajaran master tutor.
“Kali ini kita akan imbas kembali pelajaran tentang artikulasi dan intonasi dalam bermain piano. Memandangkan ada pelajar baru di sini, saya akan terangkan dari asas permulaan.”
Master tutor memberikan tunjuk ajar tentang teori muzik dan piano. Mereka juga ditunjukkan contoh mainan grace note yang baik.
“Grace note bukan sekadar hiasan. Ia nafas dalam melodi. Penggunaan grace note di tempat yang betul akan membentuk persembahan muzik kamu, sama ada kamu ingin membawa melodi yang ringan atau penuh emosi.”
Waktu latihan digunakan sebaik mungkin untuk Evan dan Suzy berlatih memainkan lagu pilihan mereka. Evan bermain dengan begitu laju kerana ingin menunjukkan kehebatan dia bermain trill. Namun, dia bermain dengan tempo yang terlalu laju sehingga master tutor tidak bersetuju dengan penyampaian lagunya.
Evan dinasihatkan oleh master tutor untuk tidak tergesa-gesa dan lebih mendalami lagu Chopin yang dipilihnya. Sementara itu, Suzy memainkan lagu rakyat Mary Had a Little Lamb dengan teragak-agak. Lucy hanya sempat berlatih perbezaan cara bermain upbeat dan downbeat dalam menentukan grace note yang sesuai dengan lagu.
Post a Comment