Di sebuah perkampungan di tengah dataran rumput menghijau, terletak sebuah ladang pokok kapas milik seorang Baron Eropah Lama. Dia tinggal di dalam sebuah estet bersama anak lelakinya, Evan - seorang pemuda yang membesar dengan cergas dan pintar. Evan sering membantu ayahnya di ladang serta mengikuti pelajaran dari tutor elit bangsawan untuk mempersiapkan dirinya sebagai seorang pewaris perniagaan estet ayahnya.
Saat musim panas tiba, Evan mendapat berita yang membuatkan hatinya berkembang mekar seperti dipenuhi taman bunga. Berita itu berkenaan kedatangan rakan niaga ayahnya, si pemilik kilang tekstil, yang sering berkunjung setiap hujung musim untuk berbincang hal perniagaan mereka. Kali ini, pemilik kilang itu akan datang bersama anak perempuannya yang dulu pernah menjadi teman sepermainan Evan sejak kecil.
Evan dengan penuh teruja mempersiapkan dirinya untuk menyambut kedatangan mereka di pintu utama estet. Dua orang gadis turun daripada kereta kuda yang diupah untuk menjemput mereka dari hujung kampung. Ketika itulah Evan mendapat tahu daripada pengurus rumah bahawa si pemilik kilang memiliki anak tiri.
Tuan Kilang telah berkahwin semula setelah kematian isterinya. Dikatakan, isteri Tuan Kilang jatuh sakit setelah pulang daripada kunjungan pertama ke ladang estet pokok kapas Tuan Baron. Sakitnya berlarutan sehingga dia meninggal dunia. Setahun setelah itu, Tuan Kilang bertemu dengan seorang wanita balu yang mempunyai seorang anak gadis yang kini menjadi isteri dan anak tirinya.
"Ibu dia meninggal? Lima tahun dulu?" Evan berasa sayu. Selama ini dia sibuk membesar sehingga tidak mengetahui perubahan besar dalam hidup gadis teman sepermainan yang dirindukannya itu. Mungkin juga, tiada siapa yang memberitahu kerana dia masih kecil ketika itu.
Kereta kuda tiba, dan Evan menyambut tangan gadis itu yang turun berhati-hati dengan pakaian gaun putih polos. “Silakan, Cik…”
“Suzy. Nama saya Suzy.” Jawab gadis itu dengan senyuman penuh ceria. Senyum manis itu tak ubah seperti yang senyuman gadis yang dia kenal dulu.
“Maaf, silakan Cik Suzy.” Evan meminta maaf kerana hampir salah mengingat namanya. Namun sebelum sempat Suzy membalas, dia berlaga bahu dengan saudara tirinya yang ingin cepat-cepat masuk membersihkan diri. Suzy mengaduh kemudian memperkenalkan saudaranya itu kepada Evan sambil beralasan, “itu Lucy, anak ibu tiri saya. Dia memang tak suka berlambat-lambat.”
Evan mengerling bayang gadis itu yang berjalan begitu pantas sambil membawa beg bagasi yang besar. Memang benar, Lucy berjalan begitu tergesa-gesa sehingga tak sempat bertegur sapa.
^^^^^
Pada pagi hari, Evan sangat gembira dapat bersarapan roti gandum dengan marmalade raspberi. Lima tahun dahulu, isteri Tuan Kilang menghadiahkan sebalang marmalade dan dia sangat menikmatinya. Di kampungnya tidak ada pokok raspberi, namun isteri Tuan Kilang mengajarkan resepi marmalade oren kepada pengurus rumah. Evan sangat gembira kerana kehadiran Suzy bersama marmalade raspberi itu mengundang nostalgia mereka bersama.
Setelah selesai bersarapan, Evan mengajak Suzy dan Lucy untuk meninjau sekitar estet bersamanya. Dia membawa dua gadis itu di atas pedati sambil dia menunggang kuda menuju ladang milik ayahnya. Ladang pokok kapas seluas 15 ekar begitu cantik berkembang putih bagaikan kepulan awan. Di sepanjang jalan, Evan melihat wajah Suzy dan Lucy menikmati pemandangan dengan penuh kagum.
“Wah, cantiknya! Ladang kapas ini sungguh besar dan luas.” Puji Suzy sementara Lucy hanya tersenyum kecil dengan mata bebas mengarah ke arah hamparan putih ladang itu. Kedua-dua mereka menghargai hasil tuaian dari pokok-pokok di situ. Mana taknya, hasil tuaian kapas itulah juga yang menjadi bahan kain jualan kilang mereka. Evan tersenyum bangga di hadapan teman sepermainannya itu.
Sampai di bangsal tempat pengumpulan hasil tuai, Evan menunjukkan pokok-pokok yang ditanam setelah kepergian keluarga Tuan Kilang lima tahun dulu. Dia sangat menyukai marmalade yang dibuat oleh ibu Suzy lantas meminta Tuan Baron menanam beberapa pokok buah-buahan untuk mendapatkan perisa marmalade yang pelbagai.
Evan mengimbau kenangan lama sewaktu pertama kali merasai marmalade buatan isteri Tuan Kilang. Dia memuji-muji ibu Suzy dan berterima kasih kerana telah memberi resepi kepada keluarga Evan. Suzy hanya senyum dan mengangguk-angguk kecil. Dia kelihatan agak kekok menerima pujian itu.
Sementara itu, Lucy kelihatan diam-diam memandang ke atas pokok seperti mengira-ngira berapa biji buah yang ada. Sambil berbual rancak, Evan menyebutkan bahawa dia sudah menyuruh pekerja ladang untuk mengutip buahnya sempena kehadiran Suzy dan Lucy ke estet ini. Suzy nampak hairan dan bingung sementara Lucy tersenyum kecil.
“Sekarang dah siang, biasanya master tutor akan datang ke rumah aku pukul 3. Apa kata kita pulang dan bersihkan diri. Aku mahu kau ikut pelajaran bersama aku. Aku sudahpun minta izin daripada ayah. Master juga pasti setuju kerana ayah akan membayar lebih.” Ajak Evan sambil menarik kudanya untuk berjalan pulang ke bangunan estet.
“Eh, tak mahulah. Itu tutor kamu, tutor elit pula. Saya takut menyusahkan keluarga Tuan Baron yang ternama. Cukuplah saya tinggal di sini menemani ayah saya saja.” Ujar Suzy. Dia berasa kecil apabila mendapat tahu akan mula belajar bersama Evan sepanjang musim panas ini.
“Tak apa, tak susah pun. Memang niat ayah ingin kamu juga belajar ilmu kira-kira bersama saya. Bukankah kamu juga akan mewarisi perniagaan tekstil ayah kamu!” Balas Evan.
“Wah, terima kasih!” Jawab Suzy bersama senyuman, menunjukkan dia tak sabar ingin menerima pelajaran daripada master tutor.
Di balik semua itu, Lucy hanya diam membuang pandang. Evan menarik perhatian Lucy ke dalam perbualan. “Kau pun boleh ikut sama, Lucy!”
Lucy menggeleng kecil sambil menjawab ringkas. “Tak apa, saya perlu tolong ayah uruskan banyak perkara sepanjang waktu kami di sini.”
Labels: ladang dan piano
Post a Comment