Ladang kapas, piano dan kita.
Setelah duduk melepaskan lelah, Lucy berjalan menghampiri sebuah kedai kecil yang menjual kopi. Matahari yang semakin tinggi membuatkan tekak Lucy berasa haus dan kering. Di pintu masuk kedai, terdapat sebuah piano lama yang kelihatan kusam. Pintu piano itu terbuka luas seolah-olah memanggil untuk dimain. Mata Lucy terpaku pada piano itu.
“Adik, pandai main piano?” Tegur pemilik kedai, seorang wanita berumur berbaju apron merah hati.
Lucy tersengih kecil. Sudah lama dia tak bermain. Piano di rumahnya sudah lama rosak. Sebelum ibunya meninggal lagi, piano sudah rosak dimakan serangga. Kali terakhir bermain piano, di rumah Tuan Baron lima tahun dulu. Hampir saja dia lupa akan tata kekunci jika tidak melihat Evan dan Suzy berlatih.
“Cubalah main.” Pujuk wanita itu. “Tengah hari begini, suasana terasa bosan. Pengunjung pun mengantuk. Kalau adik mainkan satu lagu, mesti kedai ini hidup sikit.”
Lucy menarik nafas panjang. Ada getaran halus di hujung jari.
Lucy duduk di bangku piano. Dia teringat kenangan belajar piano daripada ibunya. Lima tahun pertama dalam hidupnya, ibu sering ada di sisi untuk mengajar dan mendidiknya. Dia pandai membaca, mengira dan bermain piano semuanya berkat bimbingan ibunya. Ada sebuah lagu khas yang ibunya ajarkan setiap kali berlatih.
Perlahan-lahan, Lucy mengatur jari jemarinya menekan kunci piano. Nada dan irama yang terhasil membuatkan dia ingat kembali saat indah bermain piano bersama ibu. Melodi yang dimulai sedikit merangkak, semakin lancar dimainkan ibarat air jernih yang mengalir. Akhirnya, Lucy dapat memainkan sebuah versi lembut daripada Moonlight Sonata, hasil gubahan ibunya dulu.
Sebaik selesai bermain, Lucy disambut hangat dengan tepukan daripada pengunjung kedai. Ada yang masih menganga dengan kesan kek di bibir. Seorang lelaki tua mengangkat secawan the yang masih penuh, sebagai pujian kepada melodi yang mempesonakan itu. Lucy tersipu malu lalu kembali mendapatkan kopinya. Dia tak menyangka mainan lagunya tadi mendapat tontonan daripada orang sekitar.
“Hujung minggu depan akan ada pertandingan piano. Dari cara adik main tadi, pasti boleh menang.” Puji wanita pemilik kedai sambil menunjuk ke arah poster pertandingan di dinding kedai.
Lucy diam dengan wajah merona merah. Tiba-tiba, seseorang mencelah dari sisi.
“Awak bukan dari sekitar sini, kan? Saya tak pernah nampak awak sebelum ini.” Soal remaja lelaki berambut perang gelap.
Lucy mengiyakan.
“Mainan piano awak bagus. Jomlah ikut pertandingan.” Puji lelaki itu bersama senyuman. “Saya pun pandai main piano. Saya nak tengok antara kita siapa lagi hebat.” Remaja lelaki itu mengajak sambil membangga diri.
Lucy mengangkat kening. Dia hairan dengan sikap lelaki itu yang tiba-tiba mengajaknya bertanding.
“Oh, maaf. Saya Theron. Selamat berkenalan.” Ujar lelaki itu sambil menghulurkan salam.
Lucy menyambut salam itu. Theron mengajaknya berbual lagi. Kata Theron, dia sudah lama memerhatikan Lucy sejak Lucy duduk di dekat pokok pain.
“Saya takut awak kena tahi burung kalau awak terus duduk di situ.” Ulas Theron sambil ketawa kecil. Lucy menggaru kepala.
“Tahi burung? Ew.”
“Lucy!” Wajah Evan muncul di muka pintu kedai. Dengan nafas yang termengah-mengah, Evan memandang tepat ke wajah Lucy. “Nasib baik jumpa! Merata-rata aku cari kau!”
Lucy berkalih pandang dari wajah Theron ke wajah Evan kemudian kembali memandang Theron. Dia menjelaskan bahawa dia sekarang tinggal di rumah keluarga Evan sebagai kenalan ayahnya. Dia juga menyebut bahawa mereka datang ke pekan ini untuk membeli barang keperluan. Theron mengangguk faham.
“Lucy, aku tahu kau seorang yang berani tapi janganlah tunjuk pandai di tempat orang. Kalau kau sesat atau kau disembunyikan orang, apa nak jadi?” Marah Evan dengan nada perlahan. Suzy di belakangnya mengangguk-angguk.
Lucy mengucapkan sebaris maaf. Dalam fikirannya, setelah selesai membeli-belah nanti dia akan menunggu di tempat mereka datang tadi. Bukankah itu sahaja persamaan antara mereka? Lagi pula, ketika Evan berjalan bersama Suzy, mereka berdua tak sedikitpun memandang dia di belakang. Apatah lagi berpesan untuk ikut bersama.
‘Aku dah besarlah!’ Getus hati Lucy yang baru berumur 12 tahun.
“Hai, Evan. Saya Theron.” Theron mencelah, memperkenalkan diri kepada Evan yang dilihat sedikit muda darinya. Suasana tegang menjadi reda dengan keramahan Theron yang bertanyakan tentang latar belakang keluarga mereka berdua. “Oh, dari kampung peladang? Eh, bukankah ladang kapas itu milik Tuan Baron? Jadi, awak anak orang bangsawanlah!”
Evan senyum saja. Hatinya baru saja lega daripada perasaan risau dan marah. Cuba dia kawal supaya tidak terlanjur bahasa dengan Lucy. ‘Dia itu tetamu, Evan.’
“Kalau awak orang bangsawan, mesti awak juga pandai bermain piano. Bolehlah awak temani Lucy sertai pertandingan dengan saya. Lagi ramai lagi meriah!” Theron menunjuk ke arah poster di dinding kedai. Wanita pemilik kedai bersetuju dengan cadangan Theron.
“Bertanding? Lucy?” Soal Evan.
“Ya, pertandingan piano musim luruh. Tak lama lagi kita akan memasuki musim luruh. Pertandingan dianjurkan oleh badan kuasa gereja pusat.” Jawab Theron. “Cik adik di belakang itu pun boleh ikut sama.”
Lucy mengangguk kecil. Evan terpinga-pinga. Suzy membulatkan mata.
^^^^^
Di sepanjang perjalanan pulang, Evan dan Suzy terdiam. Otak mereka bekerja ligat. Memikirkan Theron yang mengajak Evan, Suzy dan Lucy untuk bertanding dalam pertandingan piano.
“Lucy boleh bermain piano?” Soalan itu terpacul di mulut Evan. Perlahan, tapi cukup untuk didengar oleh Tuan Baron dan Tuan Kilang yang juga bersama mereka di dalam kereta kuda.
“Eh, mestilah!” Kata Tuan Baron.
“Dahulu, ibu Lucy sering memainkan piano kepadanya sejak kecil.” Tuan Kilang bercerita.
“Mainan piano ibu Lucy memang merdu.” Celah Tuan Baron.
Evan tahu sekarang. Lucy telah mempelajari piano daripada ibunya.
‘Hm, isteri baru Tuan Kilang pasti seorang yang hebat seperti mendiang isteri pertama Tuan Kilang.’ Fikir Evan di tengah celoteh Tuan Kilang yang mengimbau kenangan waktu kecil Lucy.
Lucy pintar membaca dan mengira seawal umur tiga tahun. Ibu Lucy sempat mengajarkan asas piano serta asas jahitan. Itu semua sebelum pelajaran terpaksa diambil alih oleh pengurus kilang yang sudah lama bekerja dengan mereka. Lucy menggigit bibir. Kenangan itu hampir terlupakan lantaran kerana dia masih terlalu kecil untuk menyimpan memori. Tak semena-mena, rindu menusuk di hati Lucy.
Post a Comment