Evan berasakan musim
panas ini yang paling menggembirakan buat dirinya. Setiap hari, dia
menghabiskan masa bersama Suzy. Dia mengajarkan Suzy cara menunggang kuda dan
menghabiskan masa berlatih berkuda di sekitar ladang. Setiap petang, mereka
akan berbual tentang pelajaran, menyiapkan masalah yang diberikan master tutor
dan berlatih piano. Ke mana sahaja, mereka pasti berdua. Suzy sangat menyukai
perhatian Evan, dan berbangga mendapat layanan sebaik itu daripada anak seorang
Baron.
Lucy jarang mengikuti
pelajaran master tutor, jadi Evan jarang berbicara dengannya. Biarpun Evan
mengajak, hanya sesekali Lucy berdiri di dekat mereka untuk melihat latihan dan
perbincangan mereka. Evan menganggap Lucy tidak berminat dengan pelajaran. Dia
hanya membiarkan Lucy sendirian. Lucy, tanpa mengeluh, sering mengikuti ayahnya
memeriksa kualiti hasil tuaian kapas dan bahan pemprosesan kapas. Dia juga
meneliti dokumentasi dan lejar perniagaan antara ayahnya dengan Tuan Baron agar
setiap fail bebas daripada kesalahan.
Selain itu, Lucy
menghabiskan masa pada pagi hari untuk mencuci buah-buahan yang dipetik dari
bangsal estet. Bersama-sama pengurus rumah, dia memilih buah yang elok dan
mengasingkan buah yang sudah mulai membusuk. Buah yang elok dimasukkan ke dalam
balang besar mengikut jenisnya untuk diperam menjadi marmalade. Sementara
buah-buahan yang kurang elok terus dimasukkan ke dalam panci untuk dibuat
jem.
Kadang-kala, Lucy juga
membakar roti untuk dimakan panas-panas ketika sarapan. Perkara ini hanya disaksikan
oleh pengurus rumah dan pembantu dapur. Balang berisi marmalade oren, epal dan
jambu madu beratur di belakang dapur sebagai bukti hasil tangan Lucy. Pengurus
rumah mengeluh kerana tak sanggup membiarkan tetamu melakukan kerja-kerja.
Namun Lucy bertegas ingin melakukannya dengan alasan ingin membalas budi Tuan
Baron.
“Beruntung Tuan Muda
Evan. Stok marmalade kesukaannya dibuatkan oleh Cik Lucy tanpa meminta apa-apa
balasan.” Pembantu rumah mengulas, sambil menyusun balang-balang dengan
diperhatikan oleh pengurus rumah. Si pengurus rumah mengangguk setuju.
Hanya saja, Evan tidak
sedikitpun menyedari bahawa jem yang menjadi penyeri sarapan setiap pagi
berasal daripada air tangan Lucy.
^^^^^
Suatu pagi, Tuan Baron mengajak mereka bertiga untuk ikut ke pekan. Ada beberapa urusan yang perlu Tuan Baron selesaikan bersama ayah Lucy dan Suzy. Tuan Baron juga memberikan sedikit wang belanja untuk anak-anak muda itu membeli barangan keperluan dan cenderahati dari kampung ini. Tuan Kilang agak ragu-ragu untuk membenarkan kedua-dua puterinya menerima wang itu, tetapi Tuan Baron menekankan bahawa mereka adalah tetamu kehormat di ladang estetnya.
Pekan itu terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari estet Tuan Baron. Bangunannya tersusun mengikut jalan berbatu yang membelah pusat bandar kecil itu kepada dua bahagian: sebelah kanan dipenuhi deretan kedai — kedai kain, tukang kasut, bengkel perak, gerai makanan, dan kios kecil yang menjual barangan kraftangan tempatan. Sebelah kiri pula tersergam bangunan pejabat daerah, tempat Tuan Baron dan Tuan Kilang menyelesaikan urusan perniagaan untuk musim berikutnya.
Kedua-dua rakan seperniagaan itu turun dari kereta kuda dan berjalan ke arah bangunan pejabat, meninggalkan anak-anak mereka bebas menjelajah pekan. Suzy begitu teruja melihat banyaknya gerai dan kedai yang beratur di sepanjang jalan menuju pusat bandar. Suzy tidak berhenti berceloteh tentang kedai-kedai yang ingin dia kunjungi, manakala Evan tersenyum sambil membalas beberapa kata. Evan terlalu terpesona dengan keriangan Suzy.
“Kalau boleh, saya nak masuk berkunjung ke semua kedai yang ada.” Suzy berkata dengan penuh semangat.
Sebaik turun dari kereta kuda, Suzy menarik tangan Evan lantas melangkah laju menuju gerai yang ada. Evan hanya menurut. Dia mengikuti langkah gadis itu dan setia menemani Suzy ke setiap gerai yang menarik minatnya. Sementara itu, Lucy hanya berjalan perlahan di belakang mereka berdua. Bagi Lucy, semua keperluannya sudah cukup dipenuhi oleh hasil kerja keras ayahnya. Dia tak mahu boros dalam memenuhi kehendak. Lagipula, dia lebih berminat untuk mengikuti ayahnya dan belajar cara-cara menyelesaikan urusan rasmi.
“Lucy, kamu sudah banyak tolong ayah. Berehatlah dan bergembiralah di pekan ini.” Lucy mengingati pesan Tuan Kilang.
“Mungkin, di sini ada barangan berkualiti yang tak dapat dicari di kampung halamanku.” Fikir Lucy, sambil melihat-lihat ke arah barangan yang dipamerkan di sekitar situ.
^^^^^
Setelah berjalan beberapa waktu, Evan dan Suzy masuk ke kedai hiasan rambut. Suzy memilih-milih beberapa hiasan dan menggayakan di kepalanya. “Awak, yang ini cantik tak? Saya nak beli satu untuk ibu saya.” Soal Suzy meminta pendapat Evan.
Evan mengeluh kecil. Lengannya terasa lenguh memegang bungkusan manisan dan cenderahati yang dibeli Suzy. Dari tadi, Suzy asyik mengira-ngira barangan yang ingin dia hadiahkan kepada ahli keluarga dan pekerja-pekerja kilang di kampungnya. Evan sudah penat membawakan barangan untuk Suzy. Pendapatnya juga sering diketepikan. Dia perhatikan, Suzy suka membeli barangan yang berwarna terang tanpa menimbang kualiti barangan tersebut.
Evan tiba-tiba tersedar sesuatu.
“Awak nak beli satu untuk ibu awak? Dia boleh pakai ke?”
“Eh, mestilah boleh! Walaupun dia dah berumur 50-an, dia masih seorang Wanita yang sukakan kecantikan.”
“Suzy… Bukankah ibu awak sudah meninggal?”
Suzy terdiam. Selama ini, dia berjaya mengelak daripada bercerita tentang ibunya. Namun saat ini, dia sudah terlanjur bicara.
“Err…”
“Maksud awak, ibu tiri awak? Awak juga rapat dengan ibu tiri awak?” Soal Evan tanpa mengesyaki apa-apa. “Kalau untuk ibu tiri, mesti Lucy lebih tahu. Apa kata kita tanya pendapat Lucy.” Evan memandang sekeliling. Dia mencari kelibat Lucy.
“Lucy sudah biasa berjalan sendiri.” Ujar Suzy.
“Alamak! Bagaimana dia akan pulang nanti? Adakah kita sudah berjanji untuk bertemu semula di mana-mana?” Evan jadi sedikit risau. Dia tahu Lucy seorang yang berdikari namun dia harus menjaga kebajikannya sebagai tetamu. Jatuh air muka keluarganya jika terjadi apa-apa kepada Lucy.
Evan mengajak Suzy mencari Lucy dengan segera. Suzy mencebir bibir kerana tak sempat membeli hiasan untuk ibunya.
Di waktu yang bersamaan, Lucy berlabuh duduk di bawah pohon pain (inggeris: pine) yang rendang. Dia melihat-lihat kembali barangan yang dibelinya tadi. Terdapat beberapa kayu tinta yang boleh digunakan untuk mencatat pekerjaan di kilang. Ada juga topi penutup telinga yang nipis namun menghangatkan, sesuai untuk menahan angin musim gugur yang semakin dingin.
Lucy berasa puas. Mengenang kembali keadaan keluarganya lima tahun dahulu, saat kilang tekstil ayahnya baru mendapat tempahan dari pusat bandar. Melalui waktu penat jerih ayahnya yang tak sempat berduka menghadapi pemergian ibu. Waktu itu, cuma ada lima pekerja. Lima orang yang juga menghidupkan warna di sekitar rumah keluarganya.
Dan kini, kilang tekstil ayahnya semakin besar dan dikenali orang. Di rumahnya juga mampu mengupah dua orang pembantu untuk menguruskan kerja harian. Semua ini berkat kerjasama dan sokongan dari Tuan Baron juga.
“Ibu… Kilang ayah, kilang kita semakin besar, ibu. Ladang kapas Tuan Baron pun semakin besar.” Bisiknya sendiri. Terfikir seandai ibunya dapat melihat kejayaan ayah hari ini. Seketika dia tersenyum kecil. “Budak ladang itu pun sama, ibu. Kami dah besar.”
Post a Comment