Fahmi terjaga dari tidur. Semalaman dia menemani Aulia yang baru menjalani pembedahan pembuangan cyst. Namun, Aulia tiada di katilnya apabila dia sedar. Fahmi memandang sekeliling.
“Ayang dah bangun?” Aulia muncul dari balik pintu wad.
“Lia.. pergi mana?” Soal Fahmi dengan suara serak.
“Tandas. Lega..” Aulia menepuk-nepuk perutnya tanda lega kemudian perlahan-lahan duduk di birai katil.
Fahmi mengangguk sambil mengusap wajah untuk menghilangkan mamai. Dia juga lega mendengarnya. Andai sakit perut Aulia malam tadi melarat, bimbang ia akan menjadi komplikasi setelah pembedahan. Seketika, dia mengambilkan air dan mengaturkan ruangan katil Aulia.
Aulia sekadar duduk dan diam. Terasa dunia berputar perlahan. Dia merenung wajah Fahmi. Pelbagai perasaan tak terluah untuk lelaki itu yang setiap hari datang menjenguk dan menemaninya. Walaupun ketika dia tak mampu menerima pelawat, Fahmi setia menunggu di luar wad.
Sehingga tiga hari yang lalu, dia terpaksa bergantung dengan dos ubat yang tinggi untuk meredakan perasaannya. Dr Brent juga terpaksa menunda pembedahan selama seminggu untuk menunggu keadaannya stabil sebelum menjalani pembedahan. Adakalanya, Aulia malu. Malu dengan keadaannya yang lemah dan buruk (ugly). Namun, dia hargai kehadiran Fahmi di sisi.
Sedang Aulia tenang merehatkan badan, dia ternampak album yang tersimpan di meja sebelah katilnya.
“Itu apa, yang?” Dia menyoal.
“Huh? Album ni?” Fahmi mengambil album itu. “Ini Iman bagi. Katanya dah janji dengan Lia nak tengok album ni kan? Jadi dia minta ayang pass kan kat Lia.”
“Oh.. bukak lah. Jom tengok..”
“Tengok sama-sama?” Fahmi mengangkat kening. Tidak menyangka permintaan Aulia itu.
Aulia mengangguk. Matanya merenung gambar-gambar yang tersimpan di dalam album itu sementara Fahmi membukanya sehelai demi sehelai. Album dimulai dengan gambar di hadapan chalet penginapan. Gambar pemandangan di kawasan alam semulajadi yang menyegarkan. Gambar diambil dari belakang susuk tubuh tiga orang kanak-kanak berpimpinan menyusuri jalan sambil menikmati hangat sinaran mentari. Kemudian, ada gambar di jalanan berpasir dan akhirnya gambar Fahmi bermain bersama adik-adiknya di pantai. Gambar itu mengundang senyuman di wajah Aulia.
“Ayang selalu travel dengan family ke masa kecik? Banyaknya tempat yang ayang dah pergi ..” Aulia menyoal, penasaran dengan masa kecil suaminya.
“Ya, arwah ayah dulu kerja selalu travel.” Fahmi juga senyum pahit melihat gambar-gambar yang telah diambil oleh ayahnya.
“Oh, kerja apa?” Soal Aulia lagi.
“Dia photographer untuk majalah Travelas!a.” Fahmi cuba menjawab secara bersahaja.
“Oh.. dekat situ ke dia jumpa ibu?” Aulia mengaitkan kenyataan itu dengan pekerjaan lama ibu mertuanya.
“Mungkin..” Acuh tak acuh Fahmi menjawab soalan tentang Puan Normah.
“Oh..” Aulia mengangguk-angguk. “Gambar dekat pantai ni dekat mana.? Cantik air laut..”
“Ini dekat Pulau Pangkor. Ayah ajar kitorang berenang. Tapi saya tak berapa pandai. Angah pandai.”
“Haha..”
Fahmi menyelak ke muka surat seterusnya. Ada gambar di atas jambatan gantung di antara pepohon menghijau di pergunungan. Angah digendong di atas bahu ayah sementara Fahmi dipeluk oleh seorang wanita yang nampak sebaya dengan Puan Normah. Angah mengangkat tangannya ke langit sementara Fahmi senyum lebar memeluk tangan wanita itu.
“Comelnya.. yang ni gunung kat mana?” Aulia tertawa kecil apabila melihat gambar yang lucu itu.
“Ini.. Hmm, tak ingat pulak.” Fahmi menarik keluar gambar itu dan mencari catatan pada belakangnya. “Gunung Kinabalu.”
“Berdua je dengan angah?”
“Masa ni Iman belum lahir. Album ni disusun dari gambar yang baru ke gambar lebih lama. Sebab selalunya ayah dengan mak akan tengok balik gambar-gambar lepas baru tangkap.” Jawab Fahmi kemudian sedikit terdiam.
“Oh.. Angah sekarang dekat mana, ya?” Aulia bertanya tentang adik Fahmi yang belum pernah dia temui. “Iman pernah sebut tentang angah tapi tak pernah cerita banyak pulak..”
“Angah tinggal dengan suami dia dekat Perlis.”
“Oh.. suami dia orang Perlis?”
“Tak, suami dia kerja sana..”
“Oh..” Aulia mengangguk. Mereka terus melihat gambar-gambar yang lain sehingga tiba di helaian terakhir.
“Makcik yang peluk ayang ni siapa? Family jugak ke? Banyak gambar dia dengan ayang kat dalam album ni..”
“Ini mak ayang. Mak kandung ayang.” Jawab Fahmi. Matanya meredup. “Arwah mak meninggal sebab sakit. Sebelum dia meninggal lagi ayah dah kahwin dengan ibu.”
“Oh? Mak sakit apa?”
Fahmi tidak menjawab. Dia menyelak ke muka surat paling akhir.
“Mommy?” Aulia berkerut dahi.
Dada Aulia berombak. Fahmi terbuntang mata merenungnya. Mereka saling berpandangan. Tiba-tiba, Aulia menekan butang memanggil jururawat. Dia memalingkan wajahnya daripada memandang Fahmi. Mulut terkunci bersama seribu persoalan yang timbul dalam fikiran.
Fahmi juga terkelu. Seketika, dia mengerti dia perlu beredar.
Fahmi berdiri di ruang menunggu. Dia cuba memproses apa yang terjadi. Siapa wanita yang ada bersama emaknya? Kenapa Aulia memanggil wanita itu mommy? Serta…?
Henfon berbunyi mengganggu jalur fikiran Fahmi. Dia mencapai henfonnya dari dalam poket seluar.
“Hello?”
Bunyi henfon masih belum berhenti. Fahmi menyedari bunyi itu bukan daripada henfon miliknya, tetapi datang dari dalam beg baju Aulia. Dia segera menyeluk mendapatkan henfon isterinya.
“Ya, hello?”
Suara di hujung talian berjeda.
“Assalamualaikum, Fahmi. Aulia sihat? Dia dah keluar dari hospital?”
“Belum.” Fahmi bernada tegas menerima panggilan daripada Puan Normah. “Jangan call –“ Giliran Fahmi untuk berjeda. Dia cuba mengenepikan emosinya dan berfikir untuk kebaikan Aulia.
“Nanti bila Lia dah sihat, Fahmi suruh dia call ibu.” Suaranya mengendur.
Puan Normah senyum kecil mendengar respon Fahmi itu. “Okey. Maaf kalau ibu ganggu Fahmi.”
“Ibu..” Fahmi sempat memanggil sebelum Puan Normah menutup talian. Dia merenung album yang ada bersamanya. Entah mengapa dia membawa album itu keluar daripada wad Aulia.
“Ya?” Puan Normah menyoal setelah lama Fahmi berjeda.
“Fahmi nak tanya ibu satu soalan.”
*****
Iman membuka pintu rumah. Dia terperanjat melihat batang tubuh Fahmi di muka pintu.
“Tiba-tiba je ni..?”
“Fahmi, masuklah. Duduk dulu..” Puan Normah menyapa. Dia cuba menyembunyikan rasa risau. Sedang tangannya terketar menghidangkan air yang dia bancuh sendiri. Sempat dia hembuskan ayat dari surah Taha ke dalam air tersebut. Dia berharap dapat berbincang dengan Fahmi dalam keadaan tenang.
Iman terpanar. ‘Ibu dah tahu Along nak datang? Diorang ada apa hal? Takkan nak gaduh lagi?’
Fahmi mengambil tempat duduk bertentangan dengan Puan Normah. Dia memandang sekeliling. Rumah yang telah dia tinggalkan sekian lama. Masih terbayang kelibat arwah ayahnya. Fahmi menarik nafas dalam.
“Kau baru balik dari hospital ke? Ada bau kat baju kau..” Tidak semena-mena, Iman mencelah sambil melabuhkan punggung di sisi ibunya.
Puan Normah mengerling ke arah Iman. Dia memberi isyarat untuk tidak menyampuk. Iman menggaru pipi. Dia tak suka suasana menjadi tegang.
Fahmi mengeluarkan album yang dibawa dari hospital. Muka surat terakhir ditunjukkan kepada Puan Normah. Ada gambar arwah emaknya bergambar dengan seorang wanita di pelaminan. Kelihatannya seperti majlis perkahwinan wanita itu.
“Siapa mak cik ni, ya?”
Puan Normah menelan liur.
“Mak cik ni yang meninggal dalam kemalangan yang sama dengan ayah, kan? Dia rapat dengan keluarga kita ke?”
“Kenapa.. Fahmi nak tahu?” Puan Normah kering tekak. Takut.
“Aulia..” Fahmi merenung lama ke wajah ibu tirinya itu. “.. panggil dia mommy.”
Air mata Puan Normah mengalir.
27
*****
writers note: tentang surah taha.
Surah ini adalah surah yang melembutkan hati saidina Umar untuk menerima Islam. Banyak ady dengar orang bagi tips, baca surah taha untuk lembutkan hati orang contohnya kalau time nak gi interview kita nervous baca surah ni mudah2an interviewer mood baik, tak garang dengan kita. Mudah2an insyaallah.
Post a Comment