Darling, I need you
Iman membawa kereta dengan lebih laju. Dia risau melihat keadaan Aulia lemah tak bermaya. Apatah lagi bila Aulia meminta untuk dibawa ke wad kecemasan hospital.
Memasuki hospital, Aulia menyuruh Iman duduk sementara dia check in sendirian di kaunter saringan. Iman melihat Aulia mengeluarkan kad insurans dan kemudian pergi bersama pembantu perubatan (medical assistant). Iman ingin mengekori, namun Aulia sempat memberitahunya untuk menunggu.
“Kalau akak lama, Iman balik je dulu okey?”
Iman menunggu sehingga lewat petang. Kelibat Aulia masih tidak kelihatan. Dua kali dia cuba menelefon, dia sedar Aulia tertinggal henfon di rumah. Iman mati kutu. Dia membuat keputusan untuk bertanya di kaunter.
“Apa hubungan encik dengan pesakit?” Soal jururawat setelah membuat semakan komputer.
“Saya adik ipar dia. Saya yang bawa dia tadi.” Jawab Iman.
“Dia di wad psikiatri. Tingkat 5, menara barat.” Jururawat itu memberitahu.
“Wad..?” Iman tergamam.
“Tingkat 5, menara barat. Ikut kiri, naik lif di hadapan.” Jururawat itu menegaskan.
Fikiran Iman jadi kosong. Kaki dibawa melangkah ke jabatan perubatan di tingkat 5, menara barat. Dia berharap telinganya salah dengar apa yang disebutkan jururawat tadi. Namun, jantungnya bagaikan terhenti apabila membaca papan tanda di hadapan jabatan itu.
Belum sempat dia memproses maklumat, dia ternampak batang tubuh abangnya.
Ruang menunggu terasa hening biarpun masih kelihatan pelawat-pelawat hospital lalu lalang di sekitar. Fahmi sedar, Iman yang duduk di sisinya sedang menunggu penjelasan. Fahmi tak tahu nak mula dari mana. Dia juga tak pasti sekiranya Aulia sudi berkongsi hal ini dengan orang lain.
“Kak Lia sakit apa, Along?”
Fahmi berbelah bahagi sama ada untuk jujur atau sembunyikan kenyataan. Melihatkan wajah adiknya yang risaukan Aulia, Fahmi menyerah.
“Aulia… ada PMDD.”
Wajah Iman berkerut. Dia tak pernah mendengar penyakit sebegitu.
“Senang kata, bila dia period dia mudah stress dan depress.” Fahmi cuba menjelaskan supaya mudah untuk Iman fahami. “Aulia pernah cerita kat kau? Lima tahun lepas, dia accident satu keluarga. Lepas kehilangan mak ayah dia, Aulia tinggal sendiri. Disebabkan tu dia jadi depress. Dia dah dapatkan rawatan, tapi sakit tu datang balik. Dan mood dia lebih mudah terjejas bila dia period.”
“Along dah tahu sejak awal..? Dan along sanggup jaga orang macam ni..?” Soalan Iman begitu lancang. Dia masih dalam keadaan terkejut.
“Aku tahu lepas dah kahwin. Dia dah terangkan masalah dia kat aku.” Fahmi cuba mengelakkan salah faham dari sudut pandang Iman. “Aku sedia tolong dia. Cuma, bila keadaan sampai macam ni.. aku…”
“Kak Lia pernah macam ni sebelum ni? Masuk kat.. sini?” Soalan demi soalan timbul di benak Iman.
“Pernah sekali.” Fahmi memberitahu. “Kitorang gaduh. Lepas tu dia check in hospital sendiri. Aku menyesal betul masa tu.”
“Jadi.. maksudnya.. korang gaduh ke malam tadi? Sebab aku bawak Ibu datang rumah?” Iman dihambat rasa bersalah.
“Tak..!” Fahmi menyangkal sangkaan Iman. Dia cuba memujuk dan menenangkan Iman. Dia tahu semua ini sukar dihadam. “Weh.. Ini bukan salah kau, Iman. Aulia memang dah rasa tak sihat 2-3 hari ni. And bila kau dengan Ibu datang, dia happy sangat. Aku rasa dia appreciate apa yang kau buat tu.”
“Jadi.. kenapa dia macam ni?” Iman keliru mendengar semua ini.
“Mood swing Aulia memang boleh datang tiba-tiba. Kita semua memang tak tahu punca. Cuma Aulia je yang tahu kenapa. Semua tu hal dia dengan doktor.” Raut muka Fahmi sugul. Wajahnya suram sesuram wajah Aulia yang dilihat Iman tadi. Iman jadi kasihan. Seumur hidupnya, ini kali pertama dia melihat wajah seorang lelaki jadi begini.
Semena, Fahmi menggenggam tangan Iman.
“Kau jangan bagitahu orang lain tentang Aulia. Jangan mention kat Aulia pun yang kau tahu tentang ni.” Iman berkerut mendengar amaran dari Fahmi. “Aku takut dia tak sedia nak kongsi dengan orang. Aku tak nak dia rasa malu.”
Iman mengangguk faham.
***
KLANK KLANK
Bunyi pintu pagar dibuka membuatkan Puan Normah tersedar dari lamunan. Dia mengunci semula laci mejanya sebelum keluar menyambut kepulangan Iman.
“Iman.. Lambat kamu balik? Ingatkan tidur rumah Lia terus..?” Puan Normah menyoal.
“Iman hantar Kak Lia masuk hospital.” Iman menjawab perlahan.
“Eh? Hospital?!”
“Em..” Iman mengangguk.
“Sakit apa? Teruk ke?”
“Along kata anemia. Dia memang dah ada sakit tu.” Iman menggigit bibir. Sebuah penipuan ditabur dalam keterpaksaan.
“Oh? Sampai macam tu? Esok kita pergi tengok dia..”
“Eh mak. Tak payah lah… Biar Kak Lia rehat dulu. Tak baik kita ganggu dia.” Iman berdalih.
“Kita kena..”
“Ibu.. Kak Lia tak nak diganggu. Along pun ambil cuti untuk jaga Kak Lia.” Nama Fahmi terpaksa digunakan. Iman tahu Puan Normah akan mengelak bila mendengar nama abangnya. Melihat Puan Normah diam, Iman meminta diri untuk masuk ke bilik.
“Iman penat, bu. Iman tidur dulu, ya.”
Iman menutup pintu bilik. Dia menggosok-gosok kepala sehingga habis rambutnya jadi kusut masai. Sejak keluar dari pekarangan hospital tadi, dia berfikir panjang untuk menipu ibunya. Dia tahu ibunya akan menyoal panjang apatah lagi kerana dia seharian pergi menjenguk Aulia. Dia juga perlu menghalang ibunya daripada mencari Aulia untuk sementara waktu.
Seketika, dia terduduk di tepi katil.
Puan Normah juga masuk ke bilik. Dia termenung di meja kecil di biliknya. Perasaan bersalah mengulit jiwa. Sekiranya insiden itu yang menyebabkan penyakit Aulia, dia tak tahu bagaimana untuk berterus terang dengan gadis itu. Puan Normah membuka kunci laci meja. Sekeping surat dikeluarkan daripada laci berkunci. Surat itu sudah sekian lama tersimpan. Bersamanya ada sepotong keratan surat khabar daripada lima tahun yang lalu. Ingatannya kembali kepada perbualan malam semalam.
"Oh ya, Aulia. Kamu kahwin dah selesai majlis di kampung ke?" Puan Normah bertanya sambil dia menyimpan bekas makanan ke dalam beg plastik.
"Saya tak ada kampung. Mak ayah saya dah meninggal. Saya sebatang kara je dengan kawan-kawan di sini." Aulia senyum kecil menjawab pertanyaan klise itu.
"Oh, jadi kamu tak ada keluarga lain?" Puan Normah bertanya lagi. Ingin mengetahui lanjut tentang latar belakang Aulia.
"Takde, makcik.." Aulia menggeleng.
"Eh, Lia ni.. Panggil Ibu lah.."
"Oh, maaf tersilap. Tak biasa.. Maaf, Ibu."
“Mak ayah Lia meninggal sejak kecil?”
“Tak.. keluarga Lia accident 5 tahun lepas. Sejak tu, Lia sebatang kara. Mujur, arwah mommy dan daddy ada melabur saham. Dengan duit tu, Lia habiskan study dan teruskan hidup sampai sekarang.”
“Oh.. maaf, ya. Buat Lia buka cerita sedih pulak…”
“Takpe, i- bu.” Lia masih kekok membahasakan ibu mertuanya itu. “Dah lama benda ni jadi. Jalan Merboh tu dah tukar jadi jalan raya besar dah pun..”
Mendengar Aulia menyebut tentang Jalan Merboh, Puan Normah jadi cemas. Kemalangan lima tahun lepas?
“Kalau tak keberatan, boleh ibu tanya?” Puan Normah mengatur nafas. “Nama mak ayah Lia .. siapa?”
“Kenapa tidak..?” Aulia berasa lucu mendengar soalan ibu mertuanya. Apa yang salahnya jika ingin mengenali keluarga masing-masing? “Ayah Lia, Borhanuddin. Mak Lia pula Nur Laila."
Puan Normah merenung keratan akhbar di tangannya.
Kemalangan di Jalan Merboh melibatkan 2 keluarga. 3 nyawa terkorban.
24
Post a Comment