Waktu bergulir pergi, saat berdetik lagi. Aku terus merenung dari balik jendela. Kumpulan manusia berjalan di pesiaran kelihatan seperti kumpulan semut. Dan aku terus di sini.
Siang berganti malam, bulan bergilir dengan mentari. Namun ruangan tempat aku berdiam tetap dicerahi cahaya artifisial. Mengapa? Entah. Siapa yang membayar? Entah.
Justeru, aku terus merenung. Mencari jawapan tanpa arah tuju. Andai diberi suatu petunjuk, pastilah aku berlari mendapatkannya. Biarpun kaki ini lemah untuk melangkah.
Haih..
Seperti selalu, Anneesa masuk ke dalam bilik kecil ini untuk menjengukku. Aku berdiam sahaja. Tak punya apa-apa rancangan untuk melayan perbualan dengannya.
Kerana? Aku ragui setiap satu dari tindak-tanduk sahabatku yang satu ini.
"Selamat pagi.. Kau macam mana hari ni? Jom sarapan..?"
Dan seperti biasa, dia menyuapkan aku dengan makanan yang ringan untuk aku hadam. Bubur, telur hancur, sup.. itulah yang menjadi dietku beberapa hari ini. Sesekali aku teringin untuk melihat rendang tok, lontong atau asam pedas. Dapat bau pun jadilah.
Aku merenung wajah Anneesa tatkala dia menyuapkan aku dengan penuh kesabaran. Aku perhati, dia tak pernah mengambil walau sesudu daripada makananku. Bila ditanya, katanya makanan ini hak aku. Bila dipesan agar membawa makanannya bersama ke dalam bilik ini, katanya dia tak patut berbuat demikian.
Mengapa? Soalan itu sering bermain di fikiranku.
Anneesa terus berbicara tentang topik-topik yang biasa dibualkan sewaktu dulu. Topik-topik yang kedengaran aneh di ruang telingaku. Tentang kematian band terkenal suatu ketika dulu, tentang pemimpin yang sudah digantikan dengan yang baru, dan lain-lain. Pernahkah kami berbual tentang perkara sebegini? Tidak, Anneesa yang aku kenal bukan seperti ini!
Mungkin, usia dan pengalaman telah mengubah Anneesa?
Tidak!
Anneesa terhenti. Dia memandang tanganku yang menggenggam angin. Eh, bukankah aku ingin mencapai tangannya? Mungkinkah usia telah meragut ketepatan pemerhatian jarak?
Aku memandang ke dalam matanya.
"Kau bukan Anneesa kan?"
Dia membalas pandangan. Lama.
"Ehem.." Dia membetulkan tekak. "Apa yang kau cakapkan ni, Kathiraa?"
"Kau bukan Anneesa, kan?!" Sekali lagi aku cuba mencapai lengannya. Tubuhku tergawang. Sah, yang di depanku ini bukan manusia. "Kau ni hologram?!"
Kemudian, dia menghilang perlahan-lahan. Aku bingung, ditinggalkan terpinga-pinga bersama sebuah rangka robot yang sudah dimatikan. Bunyi tombol pintu dipulas. Aku segera beralih pandang. Sebatang tubuh yang begitu asing memakai kot putih, datang menghampiri. Lelaki muda itu tersenyum segaris.
"Kau siapa?!"
"Semua ni, hasil kerja keras nenek untuk menyelamatkan Puan dari tangan-tangan jahat saintis gila yang pentingkan diri tu." Dia yang memperkenalkan dirinya sebagai CEO itu menolak kerusi roda dan memperlihatkan kepadaku keadaan sekitar. Sepertinya, dia banyak mengetahui tentang diriku. Dan oh, betapa dahsyatnya perkembangan teknologi yang telah berlaku. "Puan Kathiraa masih ingat bukan, betapa mereka menggunakan Puan dan nenek sebagai bahan eksperimen mereka, guinea pig mereka, sehingga Puan tak lagi mengenali siapa diri Puan? Puan dan nenek sering mengalami halusinasi dan pelbagai lagi kesan sampingan daripada eksperimen mereka." Lelaki muda ini terus mengajakku berbicara. "Akhirnya, suatu hari nenek tersedar dari semuanya dan membakar seluruh makmal. Duit pampasan yang dia dapat daripada insurans kebakaran itu dia gunakan untuk membangunkan makmal yang baru dengan nama yang sama, Makmal X-Ezi. Dia dan beberapa orang lagi guinea pig juga telah menipu identiti dan menggunakan identiti ketua-ketua saintis ketika itu. Puan yang ketika itu dalam keadaan brain dead berjaya diselamatkan setelah teknologi baru dapat dibangunkan. Dan baru-baru ini, kami berjaya membangunkan teknologi untuk masuk ke dalam minda separa sedar seseorang yang dalam keadaan koma dan meminta untuk dia bangun."
"Kenapa masih nak selamatkan aku?"
"Sebagai kawan baik nenek, nenek telah mewasiatkan kami untuk menjaga Puan."
"Mana Anneesa?"
"Nenek telah meninggalkan dunia tiga tahun yang lepas."
"Kenapa selamatkan aku tapi bukan dia?"
"Nenek telah melepaskan keinginan untuk hidup. Katanya, dia lelah dengan dunia ini. Jadi, dia meninggal pada usia 112 tahun, 8 bulan 11 hari."
112 tahun? Aku menelan liur.
"Jadi aku..?"
"Sekarang ni tahun 2117, jadi mengikut perkiraan kami, Puan berumur 117 tahun pada tahun ini."
Oh, 90 tahun telah berlalu.. Tuanya aku...
Sebuah pintu berwarna putih dia tolak biar terbuka. Hmm, kenapa entah seluruh tempat ni serba putih sahaja.
Di balik pintu itu, ada seorang lagi lelaki sedang mengawal sebuah mesin. Banyak skrin monitor memaparkan imej yang sepertinya biasa aku lihat. Eh, itu memori aku ke?
"Assalamualaikum, awak dah sedar?" Dia memusingkan kerusinya dan menghulurkan senyuman manis. "Maafkan saya sebab tak berterus-terang dengan awak dan menipu menggunakan AI untuk menjaga awak."
Dia ni...?
"Dan sebenarnya, seluruh keadaan dalam bilik awak tu telah dikawal. Apa yang awak lihat semuanya telah diprogramkan, termasuklah wajah awak sendiri yang terbias pada cermin tempoh hari."
Huh? Apa?
"Sebenarnya, wajah awak tak tua." Dia mengambil alih menolak kerusi roda untukku. Aku pula masih bingung, cuba untuk menghadam semua ini. "Awak telah diletakkan dalam bekas kaca dan dibekukan selama beberapa tahun sebelum dipindahkan ke dalam bilik yang awak duduk sekarang yang dikawal ketat suhu persekitarannya oleh teknologi kami." Dia membawaku ke suatu sudut yang penuh dengan cermin kaca. Namun semua kaca itu kabur imej pantulannya. Aku didudukkan di depan cermin bulat persis yang digunakan para mekap artis di ruang mekap. Cermin itu masih belum dibalikkan.
"Kau ni.." Aku akhirnya dapat mengecam wajah lelaki ini yang sama dalam mimpiku, yang memberi panduan kepadaku untuk bangun dari koma. "Kau Alif, bukan?"
Dia tersenyum manis. "Nampaknya awak masih ingat arwah datuk saya." Dia memegang penjuru cermin, bersedia untuk membalikkannya. "Dah sedia untuk tengok wajah awak yang sekarang?"
Ya Allah... cantiknya aku!
"Wajah awak dah di preserve dari waktu awak berumur 35 tahun dan beberapa rawatan wajah telah dijalankan supaya kecantikan awak lebih terserlah." Dia mencium ubun-ubunku. "Sebagai hadiah daripada atuk, dan saya."
Aku memandang wajahnya dalam-dalam. Aku dapat merasakan ada udang di sebalik batu.
"Sebagai salah satu daripada hantaran kami untuk melamar awak." Dia terus tersenyum.
ending dia memang creepy XD looking forward for this! :')
Post a Comment