Malam itu, aku perasan yang Zairi bangun semula di tengah malam. Mungkin dia tak perasan yang aku masih belum lena. Aku dapati dia menulis di meja kerjanya. Entahlah apa, yang pastinya dia sedang merancang sesuatu di belakangku.
Rantai yang disarungkannya sebelum tidur tadi aku genggam erat. ...
"Ana.. Ana..." Aku sudahpun terjaga sejak beberapa minit yang lalu. Ketika itu dia masih di bilik mandi. Tapi tubuh ini terasa berat...
Ah, kata nak jadikan anak ni anak yang berjaya. Jadi aku tak boleh lah kalah dengan perasaan. Dari sekaranglah aku kena ajar anak aku supaya jadi seorang yang kuat. Tapi..
"Zai.."
"Dah bangun..? Jom solat sama-sama?"
"Zai.." Zairi memandang dengan kening terangkat. Aku menghulur tanganku kepadanya. "Angkat..."
"Angkat?" Dia berkerut dahi. Pagi-pagi buta aku dah buat perangai, apalah.. Zairi tersenyum. Dia sudi melayan kerenahku tetapi bukan seperti yang kusangka. Badanku diangkatnya seperti puteri raja, bezanya aku sekarang ini ratu hati. Eh, poyonya ratu hati. Merah mukaku tak sempat disorok. Zairi menurunkanku berdiri di depan pintu tandas.
"Jadi Cik Ana.. nak saya tunggu cik habis mandi ke cik nak ambik air sembahyang je?"
Aku tak menjawab. Terus masuk ke bilik air dan menutup pintu. Buat malu diri sendiri je!
Doa diaminkan, kemudian aku dan Zairi bersalaman. Terasa seperti baru pertama kali aku menyalaminya, padahal sudah lama juga kami berkahwin. Dan setiap pagi Zairi menghantarku ke stesen LRT dengan motor miliknya. Setiap pagilah aku bersalaman dengannya kan?
Dalam aku bermonolog sendiri, Zairi menarik tubuhku ke dalam dakapannya. Aku jadi kaku. Lama dia berdiam sebelum akhirnya dia menyoal.
"Ana.. tak payah pergi kerjalah, okey?"
Aku memandang wajahnya. "Zai.. Ana baru je rasa segar, bersemangat nak pergi kerja.. sampai hati Zai cakap macam ni?"
"Zai risaukan Ana je.."
"Janganlah risau.. Allah ada menjaga Ana.." Itu je yang boleh aku cakapkan untuk menyedapkan hati si Zairi ni.
Zairi melerai pelukan lantas menatap wajahku lama. Apa kena si Zairi ni sebenarnya?
Dia memelukku sekali lagi sebelum bangun dan menyuruhku bersiap sementara dia ke dapur menyiapkan sarapan pagi. Aku memandang ke lantai. Rasa bersalah menyelinap masuk ke dalam ruang hati. Haih.. tabah sikit, anak. Ibu belum buat surat berhenti kerja lagi...
"Zai.. sejuk..." Rungutku sebaik turun daripada motor. Bahu digosok berkali-kali untuk menghilang dingin angin yang hinggap di badan. Jaket belum dibuka. Zairi ketawa kecil. Dia membukakan helmet untukku. Aku masih memeluk tubuh.
"Sudah-sudahlah tu, pakai je jaket tu sampai masuk ofis.. Nah, handbag.." Aku diam menurut. Selesai mengucapkan selamat jalan, aku berjalan ke lif untuk naik ke pejabat. Seluar terasa basah. Aku jadi tak selesa. Benarlah, kerisauan Zairi. Dia takut kalau-kalau ada sesuatu yang terjadi semasa aku bekerja, kerana itulah dia sanggup menghantarkan aku sampai ke pejabat hari ini. Betullah.. aku pun terfikir kalau aku berdiri lama di dalam tren, mestilah terbeban rahim aku ni.. Hmm...
"Selamat pagi, Kak Ana!" Sapa rakan sekerja yang muda setahun dariku itu. Dia bertanya mengapa aku mengambil cuti sakit semalam. Aku menceritakan kepadanya tentang kehamilanku.
"Wah! Jadi Ira akan jadi auntie la ye?" Dia bergembira untukku. Aku tak menyangka akan ada orang selain famili yang akan berasa gembira. Tapi bila difikirkan balik, mestilah gembira dengar orang baru nak datang kan?
"Itulah.. satu lagi, akak fikir akak kena berhenti kerjalah lepas ni.."
"Ala.. kenapa?" Ira mengerutkan dahi.
"Kandungan akak tak kuat, Ira. Akak tak boleh kerja berat-berat.."
"Oh, ya ke? Kalau macam tu nanti Ira bagitau bos, supaya bos boleh pertimbangkan untuk bagi akak cuti.. and kurangkan beban kerja akak jugak."
"Eh, tak payah. Jangan, Ira.." Eh, dia ni.. Tahulah syarikat ni sepupu dia yang punya, tapi tak perlu guna keistimewaan (privilege) dia untuk pekerja macam aku. Nanti orang lain fikir yang bukan-bukan pula. "Akak tak perlu semua tu. Sekarang ni, akak fikir nak duduk rumah je. Spend time untuk diri sendiri dengan baby.."
"Akak ni, bercakap macam baby tu dah menyusu pula. Setiap masa perlukan ibunya.." Omelnya kemudian meletakkan tangan ke perutku. "Baby akak kat sini je, kak.."
"Gelilah, Ira..!" Seriuslah, kenapa semua orang nak peluk aku kat situ. Sensitif tau tak?
"Ira, lepas ni kita tak ada apa-apa kan dalam schedule kita? Abang nak jumpa Dato' Shahrom. Abang pergi dulu eh." Majikanku menghampiri dan memaklumkan kepada Ira, pembantu peribadinya ini. Aku menundukkan wajah sebagai menghormati mereka. Hebat betul dia ni, sanggup datang cari PA dan bukannya sekarang memanggil ke pejabat. Mungkin juga sebab pertalian darah antara mereka..?
"Abang Shah pergi sendiri ke?" Soal Ira.
"Haah." Balasnya ringkas. Aku memandang tinggi majikan aku ini. Biarpun syarikat ini dibawah naungan syarikat milik bapanya sendiri, hasil usaha syarikat kecil ini dikerjakan dengan titik peluh sendiri. Bapanya hanya membantu dari segi modal dan sedikit jaringan kenalan.
"Abang.." Panggil Ira lagi. "Chill la, jangan nervous sangat." Encik Shahrizal membalas dengan senyuman ringkas. Tentang apa nasihat Ira ini, tidak kutahu hujung pangkalnya. Namun dari pengalamanku bekerja dengan mereka, nampaknya Encik Shahrizal pergi atas urusan peribadi.
"Jadi Kak Ana.." Ira kembali menghadap wajahku. "Akak serius ke nak berhenti? Takkanlah.. akak tak sayang ke kerja akak ni? Akak tak sayang ke pejabat ni ?" Soalannya membuatkan aku jadi serba salah. "Akak tak sayang saya ke?"
"Eh, buat apa nak sayangkan kamu? Hahaha.." Sengaja aku bergurau dengannya.
"Dalam banyak-banyak soalan tu, akak nafikan satu je soalan yang last. Maksudnya akak sebenarnya sayanglah kan.. tak nak berhenti kan..?" Ira mengangkat kening. Haih, tak dapat nak sorok apa-apa daripada dia ni. Dia ni dulu belajar psikologi ke?
"Akak kena fikirkan kesihatan akak, kesihatan baby.."Aku harus tegaskan keutamaanku terhadap diri sendiri.
Ira nampak kecewa. Dia kemudiannya berlalu pergi untuk melakukan tugasan-tugasannya sebagai PA kepada Encik Shahrizal. Biarpun kerjanya nampak remeh-temeh tetapi tugas-tugas Ira merupakan tugas-tugas penting untuk Encik Shahrizal. Aku juga memulakan tugasanku, bermula daripada kerja yang tertunggak dua hari lepas sehinggalah kerja yang baru masuk hari ini.
Menjelang tengah hari, aku termenung sendiri. Andai benar aku berhenti kerja, tidakkah aku bakal merindui suasana di pejabat ini? Sudah hampir lima tahun aku di sini. Jadi, banyak juga memori aku dengan meja kerja kesayangan...
Pandangan jatuh kepada mug berwarna biru muda yang menjadi tempat letak alat tulis. Mug ini, pemberian supervisor pertama aku lima tahun dulu. Pen dengan pembalut kraftangan pula daripada junior pertama aku yang sudah berpindah ke jabatan lain. Dakwat stem khas, hadiah annual dinner. Banyak lagi kenangan manis yang ada di sini.
Henfon bergetar. Notifikasi WhatsApp terpapar di skrin.
Salam, dah waktu lunch ni. Jangan lupa makan..
tahulah semalam cuti, jangan asyik menghadap PC tu aje.. ok?
Aku tersenyum membaca pesanan Zairi itu.
Ana tahulah...
Aku membuka plastik yang membungkus bekas makanan. Hmm, sempat aje Zairi menyediakan ini semua untuk aku. Tapi aku? Jarang-jarang sekali aku masak untuk dia..
Diri ini terasa kerdil di hadapan Zairi. Biarlah, suami isteri memanglah kena melengkapi. Eh, sebelum aku makan baik aku ke tandas dulu.
Post a Comment