Fahmi menatap wajah Aulia. Dia tahu selama ini wanita ini wanita yang kuat kerana mampu menghadapi kemurungan walau tanpa ada seorang waris keluarga pun yang ada untuk menyokong di belakangnya. Tapi dia tak menyangka Aulia mampu untuk terus memaafkan sesuatu yang Fahmi kira sebagai dosa yang takkan dapat ditebus.
"Encik perlu belajar untuk melepaskan perasaan marah itu."
Fahmi bingkas bangun dengan wajah mendongak ke langit. Aulia termenung melihat lagak Fahmi yang asyik tiba-tiba.
"Terima kasih." Perlahan dia mengucapkannya. Hampir saja Aulia tidak mendengar.
"Jom balik." Fahmi mengajak sebelum Aulia sempat bertanya apa-apa. Suara Fahmi sedikit tergetar. Aulia menyambut ajakan Fahmi sambil melingkar lengan suaminya untuk pulang bersama.
"Assalamualaikum." Aulia memberi salam sambil dia membuka kasut di depan pintu.
"Waalaikumsalam, dah balik?" Puan Normah menyambut dari meja makan. Dia membuang rasa resah yang timbul dalam hatinya sementara menunggu tadi.
"Ya, ibu." Jawab Aulia spontan. "Ibu dah masak ke? Kenapa tak tunggu Lia?" Aulia berbasa-basi sambil melihat makanan yang terhidang di meja makan.
Belum sempat Puan Normah menjawab, dia terkejut apabila Fahmi menghulur salam kepadanya.
"Ibu, Along dah balik."
Puan Normah memandang Aulia. Aulia senyum sahaja.
Salam disambut mesra. Puan Normah senyum sambil memandang wajah Fahmi. Kemudian, dia memeluk tubuh anak tirinya itu.
*
*
*
"Along, aku minta maaf sebab lambat datang jenguk kau. Masa kau sakit kelmarin Farid budak bertuah ni tengah exam pertengahan tahun. Jadi kelam-kabut aku nak cari masa untuk turun KL ni." Fariza kesal tak dapat berada bersama keluarganya di saat yang sukar itu. Dari cerita ibunya, semua orang jadi kalut disebabkan peristiwa yang dikatakan sebagai kemalangan itu.
Sempena cuti sekolah, Fariza bersama suami dan 2 orang anak lelakinya dapat menjenguk abang sulung serta ibu tirinya. Fariza juga risau jika Fahmi berasa terpaksa untuk menjaga dan tinggal serumah dengan Puan Normah.
"Aku accident sikit je, Angah. Dah baik pun." Balas Fahmi yang sedang menjamah nasi pulut yang dibawa adiknya itu. Fariza perasan Fahmi tidak mengambil sambal ikan bilis yang mengiringi nasi pulut itu.
"Iman mana ibu?" Fariza mengubah topik. Dari tadi dia menunggu kelibat adik perempuannya. Takut Iman terlupa janji mereka untuk makan bersama sekeluarga di sini.
"Iman-"
"Iman kata dia on the way. Dia ada seminar sampai tengah hari tadi. Nanti tak lama lagi dia sampai la tu." Fahmi mencelah sambil menambah lauk gulai ayam masakan Puan Normah.
Angah mengangkat kening sambil memandang Puan Normah. Puan Normah senyum sambil mengangguk kecil. Angah memahami bahawa kini abangnya sudah berbaik dengan Puan Normah.
"Sembang-sembang, mana Kak Lia? Lama betul dia menambah air. Atau dia pergi menjerang air?" Soal Fariza lagi sambil bergurau. Tadi Aulia berkata ingin menambah jus oren yang sudah habis diminum anak-anaknya. Tapi sudah agak lama, tetap tak muncul lagi.
"Aulia..." Puan Normah cuba memanggil.
"Takpe, ibu. Biar Fahmi pergi tengok." Fahmi bingkas bangun setelah membasuh tangan. Dia juga hairan mengapa Aulia berlama-lama di dapur.
"Along dengan ibu dah berbaik, ya? Dulu Along memang pantang kalau dengan ibu. Sikit-sikit dia naik suara dengan ibu. Sampaikan sanggup pindah dan balik setahun sekali je. Sekarang dia tak kisah tinggal serumah dengan ibu?"
"Begitulah dia."
"Tak sia-sia lah Iman paksa Along jaga ibu di rumah dia ni, kan?"
"Ibu rasa Aulia yang membuatkan Fahmi lembut hati dengan ibu. Kalau tidak kerana Aulia, rasanya dia masih tak bercakap dengan ibu."
"Kak Lia!" Suara Iman memecah rumah. Puan Normah, Angah dan keluarganya semua terperanjat melihat Iman meluru masuk tanpa memberi salam. Kemudian, mereka tambah terkejut melihat Fahmi mengangkat Aulia melalui pintu dapur.
"Kenapa dengan Aulia?" Puan Normah terus menerpa.
"Along pun tak tahu. Dia pengsan atas lantai." Suara Fahmi cemas.
"Kita bawa Kak Lia ke hospital? Naik kereta Iman." Iman mencadangkan.
Fahmi berfikir seketika sebelum mengangguk setuju. Dia tahu ini bukan minggu PMS untuk Aulia. Mungkinkah Aulia mengalami keresahan kerana ada ramai orang yang datang ke rumah? Tapi Fariza hanya datang bersama suami dan 2 orang anaknya. Dan sudah diberitahu awal-awal lagi.
Fahmi berkerut dahi sambil memikirkan apakah Aulia diserang panik. Dia bimbang Aulia akan ditahan di wad lagi. Setelah dia sendiri ditahan di wad, dia ingin mengelak daripada menjejakkan kaki ke hospital mahupun klinik.
"Puan Aulia sudah sedar." Jururawat keluar dari bilik rawatan. Semua orang menarik nafas lega. "Mana suami Puan Aulia, ya?"
"Saya."
"Tahniah, Puan Aulia disahkan mengandung 3 minggu."
Semua orang berpandangan dengan wajah tersenyum gembira.
Fahmi segera masuk ke dalam bilik rawatan untuk bertemu Aulia.
"Darling."
Aulia memicit kepalanya yang masih pening.
"Darling, jangan risau. Sayang akan jaga darling dan anak kita baik-baik. Kita jaga kandungan ni sama-sama."
"Kandungan?"
"Ya, darling."
"Lia mengandung?"
"Ya, betul tu darling."
34
-----ff-----
https://youtu.be/19YfNptC4cw
Post a Comment