ini satu kisah tentang dua jiwa yang bersama tetapi terpisah. dekat tapi jauh, begitu ironinya mereka.
yang seorang punya senyuman manis meski dia tak pernah melihat kemanisan hidup
yang seorang punya rezeki untuk melihat semuanya tetapi matanya sering digunakan untuk menangis
zahirnya mereka bersama bergembira.
si buta dengan gurauannya tentang hati mereka
sang pemerhati pula senyum senang biar terasa perit dengan keadaan si buta
"kau nampak tak apa yang di langit?"
"nampak. ada awan dan burung."
"cuba kau kirakan awanan."
"macam mana aku nak kirakan awan. kalau kau suruh kira burung boleh lah.."
"kenapa tak boleh kira awan? kan kau nampak awan yang pelbagai bentuknya?"
"sebab aku tak nampak dia satu atau kembar atau apa.. jadi tak bolehlah aku mengira berapa banyak awan yang ada."
"tapi walaupun aku tak nampak, aku tahu di sisi aku ada satu awan yang besar."
"kau maksudkan aku ke? aku ni awan?"
"ya, awan tu umpama kebahagiaan yang tak terkira. tak dapat dipastikan bentuknya, satu atau kembar. dan kau, kau awan kebahagiaan aku dalam hidup tanpa cahaya ni."
begitu manis bicara si buta. si buta senyum melebar, sedang sang pemerhati tersenyum pahit. air mata mengalir lagi di hujung mata. diam-diam, sang pemerhati membenci hidupnya. dia membenci mata yang dia punya untuk melihat.
suasana bertambah sepi biarpun si buta cuba memecah tawa. sejak beberapa waktu ini, si buta menyedari sang pemerhati sering berdiam dan memendam. entah apa yang disembunyikan, si buta cuba mencari. tapi dengan keupayaan yang terhad, si buta terasa lemah untuk memberi kekuatan kepada sang pemerhatinya.
si buta bencikan kesepian ini. sudahlah hidupnya gelap, sang pemerhati yang selama ini menjadi cahayanya pula semakin hilang serinya. mengapa semua ini terjadi?
PRANG
si buta jadi risau. setelah sekian lama, dia mendengar kaca pecah lagi. apakah yang pecah itu? bukankah semua pinggan mangkuk dan cawan di rumah ini sudah ditukar menjadi barang-barang plastik.
"jangan dekat!" sang pemerhati memberi amaran.
"apa yang pecah tu, sayang?"
tiada balasan. hanya esakan halus yang kedengaran di celah-celah bunyi kaca yang bergeseran dengan lantai apabila disapu bersih.
"kau ada masalah ke? kita ada masalah ke? apa yang tak cukup, beritahu lah nanti aku usahakan supaya hidup kita lebih baik. kalau kau tak beritahu, aku tak tahu apa masalahnya. aku ni bukannya boleh melihat.."
tangisan semakin melebat. si buta dapat menangkap bunyi sang pemerhati berlari keluar dari rumah melalui pintu dapur. si buta cuba mengejar.
"sayang..?"
si buta mencari batang tubuh sang pemerhati, peneman hidupnya selama ini, menggunakan ketajaman deria yang ada.
tangannya menangkap kain baju insan yang ada di hadapannya. namun, dia hairan kerana ini bukanlah jenis baju yang selalu dipakai sang pemerhati.
"Faiz, ayah nak berbincang dengan kamu." parau suara ayah mertuanya, sudah lama tidak didengar. apakah urusannya datang ke teratak buruk ini?
"jadi, ayah nak bawa Fira ke bandar. lebih mudah untuk dia. makannya lebih terjaga. dan dia lebih dekat dengan hospital, memandangkan tarikh bersalin dah tak jauh."
si buta terdiam kelu.
selama sembilan bulan, sang pemerhati menyembunyikan semua ini daripadanya. mengapa?
terasa betapa bodohnya diri ini yang langsung tidak menyedari perubahan yang dialami sang pemerhati.
si buta terus terdiam membisu. hatinya berkecamuk.
"ayah, siapa nak jagakan abang Iz kat sini? Fira tak nak pergi. tidak!" serak suara sang pemerhati menahan tangis.
"dah tu siapa nak menjaga kamu? anak kamu??" keras si ayah bersuara. "kamu nak mengharapkan lelaki buta ni?!"
"tapi ayah.."
"sayang..." si buta mencelah. enggan sang pemerhati berjauh hati dengan ayah sendiri. "pergilah. aku okey."
"tapi.."
kemudian, diam-diam mereka mengambil beg pakaian sang pemerhati yang sudah sedia dikemas. mereka pergi meninggalkan si buta sendirian. si buta sedar, dia bodoh kerana tidak menyedari sang pemerhati punya perancangan yang tak melibatkan dirinya.
si buta berkecil hati. biarlah. biarkan semuanya. aku bukanlah selemah yang mereka sangka. aku mampu hidup seperti orang lain biarpun tiada pemerhati di sisi.
sebulan telah berlalu. si buta mengira daun lalang yang dikutipnya untuk mengira waktu. berat rasa hati ini terkenangkan sang pemerhati yang jauh dari mata. bukannya dia dapat melihat wajah itu pun biar dia dekat. si buta mengeluh.
tangan meraba meja, cuba mendapatkan cawan dan jag air untuk membasahkan tekak.
bunyi plastik kosong. si buta meraba lagi tinggal kepingan roti terakhir untuk alas perutnya.
si buta bangkit berdiri. ingin keluar ke kedai untuk mencari juadah makanan untuk seminggu lagi.
cukuplah bekalan seminggu, kerana itu sahaja wang yang dia punya untuk menyara diri.
hati mengeluh. kalau begini buruknya hidup aku, memang patutlah anak isteri aku duduk jauh dari aku. aku pun tak nak mereka hidup melarat sama macam ni.
seketika terbau haruman bau limau purut. esakan bayi terdengar halus.
"Iz.. Fira dah balik!" sayu suara itu memanggil.
si buta terlangkah ke belakang. terkejut menerima kunjungan itu.
"Iz..?" sang pemerhati melihat sekitar. dia tersenyum pahit. rumah jadi tak terurus sepeninggalannya ke rumah orang tuanya. inilah yang dia takutkan. inilah yang membuatkan dia berat untuk meninggalkan rumah ini sebulan yang lalu.
"aku tak ada sesiapa. aku ni sebatang kara. aku tak kenal kau. balik!" si buta menggigit lidah. kata-kata yang menyakitkan itu juga menyakiti hatinya sendiri. entah mengapa dia berkeras, dia sendiri tak mengerti.
"Iz.. please.. jangan buat Fira macam ni? Fira datang dengan anak Iz..."
"anak? bila masa isteri aku mengandung? bila masa aku ada isteri? aku tak pernah nampak isteri aku..?"
air mata bercucuran di pipi sang pemerhati. "sampai hati Iz..?"
"kenapa sampai hati aku pulak?"
"kalau betul, Iz tak nak mengaku Fira isteri Iz dan ini anak Iz.. tak apa.." hujung lengan baju mengesat air mata. "tak apa..biarlah kami menumpang teduh di sini. walaupun sebagai orang asing di rumah sendiri."
"siapa orang asing?! kau baliklah ke rumah kau di bandar sana! kau yang asingkan aku dari hidup kau! memang aku buta mata. dan ternyata kau butakan hati aku dari melihat isteri aku yang sendirian dalam kepayahan hamil. aku bodoh.. ya, aku bodoh! aku bodoh sebab tak sedar apa yang terjadi pada kau!" tempelak si buta, meluahkan rasa yang terpendam. "tapi semuanya sebab kau memperbodohkan aku.. kau yang sembunyikan semuanya. kau asingkan aku dari hidup kau. apa lah salahnya kalau aku tahu kau sedang mengandung?" suara si buta berubah lirih. nyata, dia sebenarnya kecewa dengan sikap isterinya yang tidak berterus terang dengannya. dia berasa tersisih sendiri.
"maafkan Fira. tapi Fira tak nak susahkan Iz.."
"apa yang susahnya? kalau betul itu anak aku, akan susahkah aku?" Iz masih marah pada sang pemerhati. "anak itu rezeki.. kenapa kau sorokkan rezeki ini dari aku?"
Fira tersedar. Dia silap dalam menilai. Sangkanya, suami akan berasa berat menerima anugerah ini. tak sesekali dia terfikir, lebih berat bagi mereka untuk menidakkan kurniaan yang indah ini.
"Fira bersalah, Fira minta maaf."
Hati Fira jadi pilu. menyedari kesilapannya, tak layak rasanya untuk ditebus dengan kemaafan. dia terdiam dalam kekeliruan. samada untuk berundur diri atau layakkah dia untuk menagih sebuah maaf?
si buta menghampiri isterinya. wajah bayi yang didalam pelukan sang pemerhati dielus. "dah besar anak ayah.. siapa namanya ni?"
Post a Comment