Pintu kereta dia tutup setelah mengucapkan terima kasih kepada Pak Cik Hud. Nadwah mendaki anak tangga memasuki rumahnya terus ke ruang dapur. Dia dapat menangkap kelibat Qay di tingkap biliknya dari luar rumah rumah tadi. Mak Cik Afifah datang menyambutnya pulang.
"Nadwah nak air? Atau apa-apa nak mak cik ambilkan?"
"Tak apa, mak cik. Saya nak naik. Ummi abi dah tidur?"
"Ya, dua-dua dah masuk bilik mereka."
Nadwah meneruskan langkah sehingga ke hadapan biliknya. Dia terhenti sambil berfikir.
'Patutkah aku bercerita kepada Najwa? Tapi.. cerita macam mana ya?'
Qay terpacul di hadapan biliknya sendiri. Nadwah sedikit terkejut kerana tidak menyedari bila Qay membuka pintu bilik yang bertentangan dengannya itu.
"Ukht," Qay seperti ragu-ragu mengatur bicara. "Kaif halukum?"
"Oh, pakcik dan makcik kirim salam. Wa kulluhum bikhair." Janggal terasa saat Nadwah menyampaikan pesanan itu. Qay membalas salam itu. Kemudian, masing-masing bisu.
Mereka berdua bertentang mata. Masing-masing berdalih dari topik asal.
"Lawa baju kurung." Qay memuji baju yang dipakai Nadwah
"Hmm? Baju Hafsah.." Nadwah memperlihatkan perincian baju kurung berpesak Pahang itu.
"Oh, baju Kak Hafsah? Kak Hafsah lama lagi ke dekat sana?" Qay berbasa-basi bertanyakan tentang kakak sepupu mereka yang masih belajar di luar negara.
"Tak pasti. Pakcik makcik tak cakap apa-apa pun.."
Situasi tetap janggal.
Nadwah berkira-kira untuk menyambung bicara ataupun terus masuk ke bilik.
"Mus.. dengan Harith...?" Qay tidak dapat mencari kata-kata yang sesuai untuk meneruskan soalan.
"Harun kata.. mereka satu bapa." Nadwah menjawab, memahami bahawa kembarnya itu juga ingin tahu tentang hubungan dua jejaka itu.
"Sebapa? ...lain ibu?" Qay menafsir lanjut kata-kata kakaknya.
Nadwah mengangguk kecil.
"Lagi? Harun kata apa?" Qay bertanya lagi.
Nadwah menggeleng. "Kitorang just, makan sama-sama..."
"Harun tak cakap apa-apa?" Qay berkerut dahi. "Tapi.. dia bawa ukht datang rumah dia...?"
Nadwah diam tidak tahu bagaimana menjawabnya.
"Takpelah. Ukht mesti dah penat kan? Selamat malam, assalamualaikum."
Nadwah menutup pintu biliknya kemudian menghempas keluhan berat. Apa yang Harun lakukan ini begitu menghairankan. Begitu hairan sekali sehingga dia tidak dapat menjelaskannya kepada kembarnya sendiri. Apatah lagi orang lain.
Nadwah berharap Qay dapat mempercayainya dan memahami situasi ini. Dia mengingati semula kehadirannya di rumah Harun tadi seperti malaikat maut pula yang bertandang.
"Eh, Tuan Harun bawa tetamu?"
Harun hanya menyerahkan begnya kepada pembantu rumah warga asing itu.
"Mahu saya siapkan biliknya?" Tanya wanita separuh baya itu lagi.
"Tak. Dia tak bermalam." Ujar Harun, petah memberi arahan. "Cuma siapkan barang mandi dan berikan dia baju dari almari Kak Ngah. Pilihlah mana-mana yang sesuai, ataupun biar dia pilih sendiri."
"Tuan sudah minta izin tuan besar? Cik Hafsah sendiri..?" Wanita itu seperti keberatan, dan alasannya munasabah.
"Tak apa, dia sedara."
Pembantu itu akur lantas segera membawa Nadwah ke bilik yang disebutkan.
Seusai mandi, Nadwah keluar dan mendapati ruang tamu kosong. Dia kemudian mengatur langkah turun ke dapur.
"Nadwah."
Dia berpaling.
"Dah solat asar?"
Dia mengangguk.
"Kalau macam tu, duduklah dekat ruang tamu tu. Aku ada kerja."
Dia terkebil-kebil sendiri melihat sepupunya itu masuk ke bilik meninggalkannya. Bosan menunggu, dia ke ruang dapur untuk membantu Mak Non menyiapkan makan malam.
Tiba waktu makan malam, dia duduk membisu di sebelah mak ngahnya.
"Nadwah datang seorang?" Encik Khairul Anuar berbasa-basi mengajukan soalan kepada Nadwah.
"Nadwah dengan Harun ada projek sekolah nak bincang tadi." Laju Harun mencelah membohongi ibu bapanya.
"Oh, kamu berdua satu grup tapi Najwa tidak..?" Puan Hilmiyah mengangguk-angguk menjawab persoalannya sendiri.
Nadwah diam saja, menghabiskan makanannya perlahan-lahan.
"Najwa nak datang. Tapi dia tak larat pulak. Sekolah dah penat kan? Sebab tu lah Nadwah je yang datang." Harun menyambung cerita bohongnya.
"Nadwah senyap je.. tak nak cakap apa-apa?"
Nadwah menelan makanan di dalam mulutnya. Dia cuba menjawab sebelum dipotong oleh Harun.
"Nadwah sakit tekak hari ni, sebab tu lah dia tak cakap apa-apa.."
"Hmm.. memang tak tertunai lah rindu pak ngah nak mendengar suara emas kamu ni.."
Nadwah diam menunduk. Sedikit dia kesal akan sikapnya yang begitu pendiam sebegini.
Nadwah meraup wajah. Dadanya terasa sesak memikirkan situasi yang rumit ini. Mengalah, dia bangkit berwudhu' untuk menunaikan solat isyak sebelum tidur.
*****
Qay berkeluh kesah sendiri. Fikirannya tidak fokus kepada pembelajaran biarpun sudah beberapa kali ditegur oleh guru yang mengajar. Matanya tak lepas memerhatikan Harun. Dia berkira-kira samada wajar dia bertanyakan perihal semalam ataupun tidak.
"Qay." Dia tersentak sedikit. Garfu dalam genggaman hampir terlepas dari genggaman. "Jauh termenung.. Fikirkan apa?" Syah bertanya lembut.
"Teringatkan boyfriend nun di Arab sana ke?" Usik Tengku Adna.
"Taklah." Qay merenung kosong ke dalam pinggan. "Aku cuma.."
"Qay!!" Tuan Aqilah menjerit histeria. Tengku Adna menekup mulut. Nadwah menyeluk poket mencari tisu. Harith pula segera menarik Qay baring di atas bangku.
"Isy, apa semua ni?" Qay rimas dengan reaksi mereka yang seperti keterlaluan. Dia bangkit semula sambil mengelap hidungnya yang berdarah dengan tisu yang diberi kakaknya.
"Aku tak apa-apalah.. Berdarah sikit je!"
Nadwah merenung wajah Qay dalam-dalam sementara rakan yang lain saling berpandangan sesama mereka. Situasi semacam ini dikatakan sedikit sahaja?
"[Habiskan makanan tu], tak kiralah Najwa berselera atau tak." Nadwah mengingatkan sebelum dia kembali menghadap pinggannya sendiri. "Jangan fikir terlalu banyak."
"Lakin, ukht.. [Tapi, kak..]" Qay tidak mampu menahan perasaannya lagi. Namun dia segera beringat yang mereka kini di depan khalayak. Tidak sesuai berbincang perihal yang serius.
Mustapha menghabiskan makanannya lantas bangkit terlebih dahulu meninggalkan meja.
"Syah.. Kenapa dengan Mus? Korang berdua dah tak jalan sama-sama dah ke?"
"Entahlah.. Seharian ni dia tak bercakap sepatah pun dengan aku. Aku tanya pun dia tak jawab. Macam dia ada dunia sendiri je.."
"Syah, esok tukar tempat dengan aku sehari."
"Sebab?" Syahril mengangkat kening.
"Ala.. sehari je." Harith merayu tanpa menjawab soalannya.
"Suka hati kaulah."
*****
D U S H !
“Kau kenapa tumbuk aku? Apa salah aku kepada kau?!”
“Salah kaulah! Kenapa kau tak suruh bapak kau tu duduk diam-diam di rumah kau? Menyibuk saja dalam hidup aku, dalam rumah aku.. Nak celebrate birthday adik aku konon…” Mustapha menjerit marah, seperti kemarahannya itu tak dapat dibendung lagi. Seisi kelas merenung mereka. Bertanya sesama sendiri, apakah masalah antara mereka berdua yang menyebabkan Mustapha mengamuk di awal pagi sebegini?
“Apa hak aku nak halang dia ke mana dia nak pergi? Aku ni anak dia je, dan adik kau tu anak dia jugak. Salah ke dia nak sambut birthday anak dia sendiri?” Harith membalas kata-kata Mustapha yang dianggapnya tak masuk akal. Luka di tepi bibir ditekan dengan ibu jari supaya cepat berhenti berdarah.
“Dia tak layak untuk itu! Dia tak layak jejak kaki ke rumah aku!!” Wajah Mustapha jelas berang.
“Sedar diri tu sikit.. Rumah tu dia yang belikan untuk mak kau.. Rumah yang kau sewa pun, duit siapa yang membayarmya? Bila kali terakhir kau balik rumah sebelum birthday adik kau? Bapak tak pernah gagal untuk bergilir-gilir tinggal di rumah mak kau dan mak aku. Sama je macam dulu-dulu jugak..” Harith bersikap sinis. Dia jemu dengan Mustapha yang lupa diri sebagai anak kepada ayahnya.
D U S H !
“Kau diam! Aku menyampah dengan kau, kau dengar tak ni? Aku menyampah!” Tempik Mustapha yang sudahpun hilang pertimbangan. Seisi kelas diam memerhati. Hanya menunggu perbalahan ini terlerai sendiri.
“Sudahlah! Jangan bergaduh kat sini. Tak malu ke semua orang tahu tentang hal keluarga kau berdua?” Ameer cuba meleraikan pergaduhan itu, atau lebih tepat lagi, cuba menghalang Mustapha daripada terus-terusan menumbuk muka Harith.
“Harith, Mus.. tak boleh ke kau berdua berbaik?” Ameer memandang wajah Harith sebelum berpaling memandang Mustapha. “Harith, aku tahu kau dah lama nak berbaik semula dengan Mus kan? Mus, kau maafkan je lah Harith dan bapak kau…”
Mustapha memandang sinis ketua kelasnya itu. “Mudahnya kau cakap.. Kau tak rasa apa yang aku rasa…” Cemuhnya, kemudian menggalas beg dan meninggalkan kelas.
Perlahan, Ameer mengeluh dan bercakap sendiri. “Macamlah kau tahu apa yang aku rasa?”
Dua gadis datang membantu Harith bangun. Mereka resah melihat bibir Harith pecah berdarah. Warga kelas yang lain bercakap-cakap sesama mereka. Masing-masing membuat spekulasi berdasarkan persepsi masing-masing mengenai keluarga Mustapha dan Harith.
“Mus!” Nadwah ingin menghalang Mustapha daripada beredar, namun kakinya terkaku di meja. Dia masih terkejut mendengar apa yang keluar dari mulut Ameer sekejap tadi. Benarlah, apa yang Harun pernah memberitahunya. Dalam kelas ini, bukan Ameer seorang yang mempunyai keluarga tiri. Nadwah benar-benar terkejut dengan kenyataan ini.
“Nadwah!” Harun mendapatkannya saat pandangan matanya berubah kelam.
“Ergh..”
Qay mengitari pandangan. Sebaik mendapati kakaknya ada berbaring di sisi, dia menggenggam tangan kembarnya itu. Nadwah kelihatan lemah tidak berkutik. Qay mulai resah. Jam di meja tidur baru menunjukkan pukul 10, sepatutnya Nadwah masih di sekolah. Qay bangkit perlahan-lahan.
Mak Cik Afifah, pengasuhnya, masuk bersama sejag air putih. Wanita separuh baya itu menyapanya dengan raut wajah yang tenang. Qay bertanya tentang apa yang terjadi kepada kakaknya.
Mak Cik Afifah mengeluh berat. Dia meluahkan kebimbangannya apabila melihat Qay dan Nadwah sama-sama pengsan tak bermaya. Mak Cik Afifah bertanya samada mereka punya masalah di sekolah. “Kepulangan kita ke Malaysia ni, keputusan yang salahkah?”
Qay menelan liur. Risau Mak Cik Afifah bukan alang-alang. Qay tidak tahu untuk menjawab ataupun tidak.
“Mak cik, kan doktor dah pesan.. Tiga bulan pertama ni memang kena pantau dulu keadaannya. Nak tengok boleh sesuaikan diri dengan iklim di sini atau tak… Sekurang-kurangnya, di sini tak sepanas di Kaherah.” Qay cuba melarikan topik perbincangan asal.
“Ya, mak cik ingat kata doktor Najwa. Tapi kenapa pula dengan Nadwah ni?”
Qay menelan liur lagi. Hendak bercerita mengenai hal di sekolah, dia tak mahu Mak Cik Afifah risau dengan masalah mereka pula.
Perbualan mereka terhenti apabila Nadwah tiba-tiba terjaga sambil menggumam sesuatu. Mak Cik Afifah segera mambantu Nadwah. Qay berasa lega pada masa yang sama dia juga risau dengan kakak kembarnya ini.
“Ukht, apa yang terjadi di sekolah tadi?” Qay bertanya sambil menyuap manisan ke dalam mulut sendiri. Nadwah di sisinya buat tak tahu sahaja malah bangkit meninggalkan televisyen terpasang untuknya. Qay memerhatikan kakaknya itu melangkah ke depan pintu bilik ibu dan ayahnya.
Hati Qay tertanya-tanya. Ada perkara pentingkah yang ingin dibincangkan dengan Nadwah dengan ummi dan ayah? Mengapa tidak ditanya ketika makan malam tadi?
Sikap Nadwah yang ragu-ragu untuk mengetuk pintu bilik bahkan mematikan sahaja hasratnya itu menambahkan lagi persoalan di hati Qay. Mungkinkah Nadwah sudah mengetahuinya?
Qay memadamkan televisyen lalu mengekori Nadwah hingga ke biliknya. Diam-diam, dia memasuki bilik kakak kembarnya itu dan mengunci pintu.
“Ukht…” Dia memanggil. Nadwah sedikit terkejut, dia tidak sedar akan kehadiran Qay. “Ukht, ceritalah.. Ada apa yang terjadi di sekolah? Kenapa dengan Harun?”
“Harun?” Nadwah berdiam lama. Qay menunggu kakaknya itu menyambung bicara. Wajah Nadwah yang ketara melakar keliru berubah menjadi tangisan. “Ukht tak tahu, Najwa.. Ukht tak tahu…”
“Ukht…” Qay ingin memujuk, namun Nadwah segera menyuruhnya keluar.
“Ukht nak bersendiri.”
Qay terpempan. Ini kali kedua dia melihat kembarnya itu terganggu jiwanya sehingga tak mampu meluahkan rasa. Dia perlu melakukan sesuatu.
Post a Comment