Kau Aku dan Mereka.
Dan dia tersenyum sambil merenungku penuh makna. Aku membalas senyumannya itu lantas segera berpaling untuk menutupi rasa hati.
Segalanya bermula empat tahun yang lalu. Pertemuan keluarga kami di sebuah restoran merupakan pertemuan pertama antara aku dan dia. Dia sedia bercerita tentang dirinya setiap kali ditanya ibu dan bapaku. Aku jadi tertarik dengan kelembutan bahasanya biarpun dia kurang berbicara berbanding abangnya. Mungkin dia merendah diri kerana dalam pertemuan ini, keluarga kami berhajat menyatukan kakakku dengan abangnya.
Saban waktu, kami serring menemani pasangan yang hangat bercinta itu memilih dan menyediakan persiapan perkahwinan meeka. Geli hatiku melihat mereka berdua sering berbalah lantaran berbeza pendapat. Biarpun begitu, kelihatan jelas di wajah mereka sememangnya mereka ikhlas ingin bersama.
"Safia, biru ni lagi lawa kan?"
"Umair, hijau ni lagi cantik kan?"
Serentak mereka bertanya, meminta kami menyokong pandangan masing-masing. Serentak itu juga kami menjawab, "cuba yang kuning."
Kami berpandangan seketika. Aku jadi terharu mengetahui pendapat dan pegangan kami sama; "jangan telalu memikirkan antara A dan B, masih ada 24 pilihan lain."
Dua tahun tempoh pertunangan mereka, segalanya dikongsikan bersama kami. Mereka selalu merindui antara satu sama lain dan terpaksa bersabar dengan kontrak 4 tahun yang sudah ditandatangani kakakku sebelum itu yang menghalangnya bekahwin.
Bimbang mereka terlanjur melangkah, kerana itulah kami berdua sentiasa menemani mereka.
Dalam tempoh dua tahun itu, hatiku semakin terikat dengan cinta terhadap Umair. Bahasanya, perilakunya, minatnya, dan segala-galanya tentang dirinya. Aku berasa tak sanggup lagi untuk memendam rasa. Dan setelah aku kutip seribu kekuatan untuk berterus-terang dengannya, dia menolakku dengan senyuman. "Maaf, aku tak punya sebarang perasaan terhadap kau."
Sejuta penyesalan aku ratapi, mengapa aku begitu lemah untuk terus memendam?
Lebih menghambat rasa, dua bulan sebelum pernikahan dilangsungkan, kakakku terlibat dalam sebuah kemalangan. Dua minggu dalam keadaan koma, tunangnya sekadar menyepi. Kata Umair, abangnya itu terlalu sedih. Tak sanggup untuk dia menjenguk kakakku, hanya mampu mengirimkan doa tanpa putus. Umair menggantikan abangnya, membacakan surah Yasin untuk kakakku saban hari. Dia berbicara dengan kakakku, memujuk agar segera bangun untuk meredakan perasaan abangnya.
Kisah mereka berdua berakhir dengan air mata ketika doktor mengesahkan bahawa jantung kakakku telahpun berhenti berdegup. Sedih, sayu dan suram. Itulah yang terjadi kepada hidup abang Umair. Hari-harinya jadi sepi lantaran senyumannya telah pergi bersama pemergian si ratu hati.
Aku terkejut dan terkedu apabila ibu dan bapaku membuat keputusan untuk menggantikan aku di tempat kakakku. Mereka berharap kesedihan abang Umair akan terubat. Abang Umair terlalu sedih untuk memberi jawapan, dan aku tidak sanggup untuk menyatakan keengganan.
Hati berkecamuk. Fikiran bercelaru.Aku berjumpa dengan Umair dan merayu kepadanya agar dia menjadikan aku miliknya. Sekali lagi, dia memohon maaf. "Sejujurnya, Safia.. Aku ni khunsa. Aku tak mungkin dapat membahagiakan kau sedang aku tak punya sedikit perasaan pun terhadap wanita."
Aku kecewa lagi. Marah dengan diri sendiri yang tidak tahu malu menagih kasih daripada yang enggan memberi.
Kad direka semula. Tarikh pernikahan dan nama pengantin diubah. Aku terus keliru. Mampukah aku untuk menggantikan kakakku di sisi abang Umair?
Umair menghampiriku. Aku menarik nafas panjang. Sungguh, aku belum bersedia untuk menatap wajahnya. Aku menggapai lengan suamiku.
"Safia, tahniah! Ini hadiah daripada aku." Umair menghulur bungkusan bersama senyuman lebar.
"Eh, susah-susah je datang bagi. Kenapa tak letak je kat meja hadiah?" Suamiku menyambut hadiah yang dihulurnya.
"Bagi by hand lebih bermakna.. By the way, Safia memang bertuah sangat dapat suami hensem macam kau." Kata Umair kemudian mengenyitkan matanya.
"Umair!" Aku menjegilkan mata kepadanya. Dia tertawa.
"Orang gurau je lah, Fia.. Hahaha..." Sambungnya dengan tawa bersisa, "Ini baru lah Safia yang orang kenal. Jangan sedih-sedih just because abang dengan kakak tak sempat tengok hari bahagia kau. Diorang bahagia kat 'sana' sekarang.."
Aku mencebir bibir. Sudah dua tahun sejak pernikahan itu terbatal sama sekali lantaran abang Umair dijumpai lemas di Pantai Ombak, tempat yang sepatutnya menjadi tempat mereka berbulan madu, dua minggu sebelum tarikh pernikahan. Tragedi mereka, parut kepada kedua-dua keluarga kami. Dan hubungan aku dengan Umair...? Tiada. Tak berhubung sehingga beberapa minggu yang lalu sempena perkahwinanku ini sahaja.
"Umair, kau tahu sebenarnya aku moody bukan sebab diorang."
"Ya." Raut wajahnya berubah redup. "Maaf."
Oct 10, 15 - 4.32pm
Copyright of Irene Adler No Plagiarisme Please
Post a Comment