Setia Cinta
Tasnim tersenyum sendiri. Kepalanya tergeleng-geleng melihat keadaan Hud yang masih lena diulit mimpi. Tahulah dia suaminya itu tidak betah berjaga sehingga lewat malam sehingga ketiduran setelah subuh. Tuala digantung setelah dia selesai mengeringkan rambutnya.
Tasnim memandang ke arah langit. Mentari semakin tinggi. Dia berfikir-fikir untuk menyediakan makanan untuk makan tengah hari.
'Eh, mana boleh. Bangun-bangun je menghadap masakan aku, rosak mood dia nanti. Tak boleh, tak boleh.' Tasnim berfikir sendiri. 'Hmm.. Kalau tak silap, dekat depan tu ada warung. Bolehlah beli nasi bungkus. Ya, tak?'
Menyedari dia tidak mampu untuk memasak hidangan yang enak untuk suaminya itu, Tasnim membuat keputusan untuk ke warung yang terletak tidak jauh dari rumah sewanya itu. Sebelum melangkah keluar, dia meninggalkan sekeping nota lekat di kaca cermin memaklumkan pemergiannya kepada suami tercinta.
*****
"Itu je, kak?" Tanya si pelayan meminta kepastian.
"Hm, itu sahaja." Tasnim mengangguk.
Si pelayan meminta diri. Namun baru sahaja dia melangkah, Tasnim menggamitnya semula.
"Dik, tandas di mana ya?"
Tasnim mengemaskan letak baju kemeja labuhnya. Melangkah keluar sambil membaca doa, dia segera mendekati sinki yang disediakan diluar untuk membasuh tangan. Sekilas, mata menangkap kelibat seorang lelaki yang sudah lama hilang dari hidupnya.
Tasnim benar-benar terkejut melihatnya. Tanpa sedar, kaki mengejar kelibat lelaki itu. Tatkala tangan hampir menangkap lengan kurus itu, seorang perempuan keluar dari dapur memanggilnya.
"Harun, tolong akak bersi..."
Terkaku wanita itu melihat keberadaan Tasnim. Lelaki bertubuh kurus itu juga berpaling melihat ke arah yang direnung oleh kakaknya. Menyedari tangan Tasnim hampir menyentuh lengannya, dia berkerut keliru.
"Kak Affy?" Dia menduga identiti wanita yang pertama kali diemui itu.
"Tasnim Mahmud?" Wanita itu membalas dengan pertanyaan.
*****
Tasnim mengayun langkah longlai memasuki rumah. Bungkusan makanan yang dibeli diletakkan begitu sahaja di atas peti televisyen. Dia kemudian melangkah merapati Hud yang sedang bersantai di sofa.
"..niem, are you okay?" Pertanyaan demi pertanyaan yang diajukan suaminya tidak dihiraukan. Bahkan dia tidak mendengarnya. Ucapan suaminya itu ibarat angin lalu sahaja di telinganya.
"Aniem??" Mata Hud terbuntang luas apabila Tasnim duduk di atas ribanya sambil wajah mereka berhadapan. Begitu rapat sekali sehingga dia merasakan gementar tatkala mata mereka bertentang.
"Hud takkan sesekali lupakan orang kan?" Hud menelan liur. Wajah Tasnim kelihatan berbeza daripada Tasnim yang dia kenali. Terasa seperti wanita di hadapannya ini bukanlah isterinya yang selama ini dia kenali.
"Hud takkan lupakan memori antara kita kan?"
"Aniem merepek apa ni? Kenapa pulak Hud nak lupakan Aniem??" Hud terkejut mendengar soalan maut itu keluar dari mulut isterinya.
"Hud, janji dengan orang Hud takkan lupakan orang . Walau apapun yang terjadi.."
"Aniem kenapa ni?" Hud berubah cuak. Renungan Tasnim tajam menikam tak seperti selalu.
"Please Hud," Tasnim mulai berbisik. "Berjanjilah..."
Hud rasa terperangkap dalam perasaannya sendiri. Tidak pernah dia melihat kekasih hatinya ini dalam keadaan seteruk ini. Segala persoalan yang bermain di minda diketepikan. Akhirnya, dia akur dengan permintaan isteri.
"Insya-Allah.. Hud janji."
*****
Hud masih tidak dapat memahami perlakuan Tasnim siang tadi. Kini, isterinya itu melangkah laju di hadapannya membawanya ke sebuah warung yang kelihatan meriah dengan pelanggan. Tidak ia menyangka Tasnin mengetahui jalan di bumi asing ini. Mungkinkah ada perkaitannya dengan pemergian isterinya membeli nasi bungkus pada tengah hari tadi?
Tasnim mengambil tempat di sebuah meja kosong. Dia menarik Hud duduk di hdapannya. Hud memandang sekeliling. Warung ini sungguh meriah dengan pelanggan membuatkan suasana kelihatan gamat tetapi tidaklah sesak. Pepohon kelapa yang tumbuh di sepanjang pantai bertentangan warung ini juga menjadi faktor penarik. Air laut dan tiupan bayu yang menenangkan menarik lagi tumpuan pelancong untuk berkunjung ke sini.
Tasnim bertindak berani memanggil pelayan lelaki yang berada tidak jauh dari meja mereka. Biarpun selalunya dia pasif sahaja namun Hud tidak mengesyaki apa-apa.
"Eh, Tasnim! Awak datang makan sini? Alhamdulillah.. datang dengan family atau berdua je?" Si pelayan bertubuh kutus bersikap ramah. Tasnim menyimpul senyum.
"Kenalkan, ini suami saya. Kami tengah honeymoon."
Hud menghulurkan tangan secara spontan sambil memperkenalkan dirinya. "Hud."
Huluran disambut berserta senyuman, lantas si pelayan juga memperkenalkan diri. "Harun."
Wajah Hud berubah hairan.
"So, korang honeymoon? Dekat Brunei ni?? Cantikkan Brunei..?" Pelayan bernama Harun itu menyungging senyum lebar. "Okeylah, saya cakap dengan Kak Hafsah untuk sediakan special dish untuk awak berdua. Anggaplah ini wedding gift dari saya. Congratulations!"
Hud menghantar pelayan itu pergi dengan pandangan berkerut-kerut. Tasnim menyedari perubahan wajah Hud.
"Ya, itu memang Ron. Orang sendiri pun terkejut.."
*****
"Akak minta maaf sebab tak berterus terang dengan awak. Bukan niat akak untuk sembunyikan kenyataan ni.." Jelas Hafsah sambil mereka duduk menunggu pesanan siap. "Dia dah tak sama macam dulu lagi. Jadi pada akak, adik akak dah berkubur lepas pembedahan. Sebab tu akak isytiharkan kematian dia kepada semua orang dan bawa diri ke sini."
Tasnim berasa hiba. Dia terkejut dengan pengakuan tulus dari Hafsah. Sekiranya dia di tempat yang sama, kuatkah dia untuk mengharunginya?
"Akak.. boleh saya tahu Harun sakit apa? Dia ada mention dia kena barah. Tapi dia tak sebut barah apa. Jadi.."
Hafsah merenung wajah Tasnim dalam-dalam.
"Akak sendiri pun terkejut. Lepas dia kemalangan motosikal, doktor suruh dia datang untuk rawatan susulan. Dia cedera tak teruk pun. Lebam sikit je. Tapi lepas tiga minggu barulah doktor beritahu.. yang dia ada barah otak."
Tasnim menekup mulut serba tak percaya.
"Doktor cadangkan pembedahan. Tapi katanya peratus berjaya rendah." Hafsah menarik nafas. Ceritanya penuh dengan emosi namun dia sudah puas mengalirkan air mata. "Pada asalnya, akak takut nak buat keputusan. Yalah, kalau tak berjaya boleh membawa maut. Tapi, Harun.. dia nekad nak jalani pembedahan. Katanya, dia tak mahu hidup bergantung dengan dadah semata."
Sebutir permata jernih gugur dari tubir mata. Tasnim teringat memori bersama Hud. Lelaki itu pernah mengatakan takkan sesekali bergantung harap kepada dadah kerana sesungguhnya kesan sampingan daripada dadah itu sendiri sangat teruk. Dan kerana itulah dia juga nekad untuk tidak sesekali mengambil sebarang ubat yang merupakan dadah. Pipi yang basah segera dikesat.
"Dia tu memang disiplin dengan ubat. Kalau dia demam tak pernah jumpa doktor. Ada saja cara dia untuk mengubat diri sendiri. Dengan madunya, habbatussauda'.. Susah nak tengok dia ambil ubat doktor. Tapi sekarang... ubat tu lah yang membantu dia teruskan hidup."
Sayu nada Hafsah bercerita. Namun, wanita yang lebih tua darinya itu tetap tabah.
"Lepas pembedahan tu dia jadi lebih teruk. Dia dah tak ingat memori lama dia. Memori yang baru tercipta pun tahan beberapa hari je. Lepas tu, dia akan lupa juga. Akak ni kalau boleh tak mahu sesiapa tahu tentang penyakit Harun. Biarlah akak je yang menanggung. Akak harap, kamu boleh lupakan semua ni. Anggap je yang kamu tak tahu apa-apa tentang penyakit dia. Akak tak mahu simpati.."
*****
Hud meremas erat jemari Tasnim. Gayanya seperti dia tak akan merungkai ikatan tangan mereka selamanya. Matanya tak lepas memerhati wajah isterinya yang sedari tadi menunduk. Dia bersimpati dengan wanita itu. Nasibnya seolah-olah sentiasa dilanda malang setelah mereka bernikah.
Hud menyalahi diri. Dia tahu isterinya sedang bertarung untuk menelan segala keperitan ini. Dan dia berharap sepenuh hati ingin menjadi sumber kekuatan wanita ini.
"Aniem.." Perlahan dia memanggil. Si empunya nama mengangkat muka. "Hud minta maaf sebab selama ni Hud selalu buat Aniem rasa terseksa. Hud sedar sejak Hud ceroboh hidup Aniem beberapa bulan lepas, Aniem sentiasa diselubungi kesedihan. Hud harap Aniem boleh maafkan Hud. Dan Hud nak Aniem tahu yang Hud akan selalu ada di sisi Aniem untuk bahagiakan hari-hari Aniem and... tebus kesilapan Hud."
"Hud..." Tasnim mengulum senyum manis. Namun senyuman itu kelihatan suram dan menyedihkan di bawah sinaran rembulan. "Orang tak pernah salahkan Hud. Takde apa-apa yang perlu Hud tebus. Orang percaya, ini semua ujian dari Allah."
Hud terharu mendengarnya.
"And Hud, orang cukup bersyukur Hud ada untuk orang."
*****
Harun mengisi air masak ke dalam sebiji cawan dan membawanya ke rak tempat simpanan makanan. Sebungkus plastik ubat dikeluarkan dari rak tersebut. Dia memandang pil-pil ubat miliknya itu. Tiba-tiba tercetus persoalan di benaknya, apa perlunya dia mengambil semua ubat ini?
"Harun?" Hafsah menjengul kepalanya ke ruang dapur. Wanita itu lantas tersenyum lega. "Akak baru nak ingatkan supaya kamu makan ubat tu. Alhamdulillah, kamu sendiri ingat." Kakaknya terus beredar menyambung kerjanya semula. Namun sempat telinganya mendengar sayup-sayup dari bibir Hafsah mengatakan betapa wanita itu bimbang akan kematiannya suatu hari nanti. Harun berkerut.
'Aku dah nak mati ke? Aku sakit kronik? Sakit apa??'
Baru dia tersedar betapa selama ini dia tidak pernah mengetahui apa-apa mengenai penyakitnya sendiri. Selama ini dia sekadar mengikut arahan Hafsah untuk ke hospital dan mengambil ubat.
Pembungkus ubat dia teliti. Namun, hanya aturan pengambilan yang tercatat. Nama ubat atau fungsinya telah ditutup dengan pen marker hitam. Mungkin angkara kakaknya yang sengaja ingin menyembunyikan semua ini. Fikirannya berserabut. Ubat-ubatan ditinggalkan begitu sahaja dalam keadaan berserakan. Harun bergerak ke pantai. Membiarkan langkahnya membawanya kepada ketenangan.
Copyright of Irene Adler No Plagiarisme Please
Post a Comment